Idaman BSP catat jualan memberangsangkan

Hock San
Hock San
A
A
A

[DIKEMAS KINI] MGB Berhad (MGB), anak syarikat LBS Bina Group Berhad (LBS) mencatatkan jualan memberangsangkan untuk Rumah Selangorku Idaman BSP (Idaman BSP) yang merupakan sebahagian daripada projek Rumah Selangorku Idaman MBI.

Susulan pelancaran Idaman BSP, MGB menerima tempahan menghampiri 100 peratus melibatkan sejumlah 1,312 unitnya.

Naib Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB, Tan Sri Lim Hock San berkata, Idaman BSP merupakan pelancaran pertama MGB daripada sebahagian enam projek Rumah Selangorku Idaman MBI yang terlibat.

“Kami berazam untuk menyelesaikan isu rumah mampu milik di samping menyumbang kepakaran IBS kami bagi memastikan rakyat Selangor berpeluang memiliki sebuah kediaman.

“Kami sedang merancang untuk melancarkan baki lima lagi projek di bawah Rumah Selangorku Idaman MBI menjelang akhir 2022 / awal 2023.

"Penglibatan MGB dengan menjadi sebahagian daripada projek Rumah Selangorku Idaman MBI ini dijangka menyumbang pendapatan yang stabil kepada syarikat, sekali gus merealisasikan harapan kami untuk meningkatkan lagi nilai pemegang saham,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Idaman BSP merupakan sebahagian daripada projek Rumah Selangorku Idaman MBI, terletak di Bandar Saujana Putra, sebuah perbandaran yang sedang berkembang pesat dilengkapi dengan akses mudah ke bandar seperti Cyberjaya, Kota Kemuning dan Puchong serta lebuh raya utama.

MGB menyasarkan untuk menyiapkan pembangunan Idaman BSP menjelang 2023.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan itu, projek Rumah Selangorku Idaman MBI merupakan inisiatif yang dilancarkan oleh kerajaan negeri Selangor bagi menyediakan 30,000 rumah mampu milik kepada warga yang layak.

Di bawah inisiatif ini, rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas dengan berpendapatan isi rumah antara RM3,001 hingga RM10,000 sebulan serta pembeli rumah kali pertama di Selangor boleh memohon.

Projek ini terdiri daripada rumah kediaman bertingkat tinggi bermula daripada RM250,000, dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air dengan saiz binaan minimum 1,000 kaki persegi bagi setiap unit.

Unit ini juga dilengkapi dengan dua parkir, tiga penghawa dingin, sebuah set televisyen, kabinet dapur, tiga almari pakaian, sebuah peti sejuk dan dua pemanas air.

Sebelum ini, MGB telah menjalin usaha sama dengan PNSB Construction Sdn. Bhd. (PCSB) pada pertengahan 2019 untuk membentuk Konsortium PCSB-MGB dengan matlamat untuk membina sejumlah 7,210 rumah mampu milik Rumah Selangorku Idaman MBI di lokasi infrastruktur yang strategik.

Rumah mampu milik ini akan dibina dengan menggunakan teknologi pratuang Sistem Binaan Berindustri (IBS) milik MGB.