X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 21 Mei 2022

Pembantu perawatan kesihatan dituduh salah guna kuasa

Tertuduh diiringi pegawai SPRM di Mahkamah Sesyen Seremban, pada Khamis.
A
A

SEREMBAN - Seorang pembantu perawatan kesihatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban, pada Khamis atas pertuduhan menyalahguna kuasa meminda resit rasmi kerajaan melebihi jumlah sebenar yang sepatutnya dibayar kepada Klinik Kesihatan Lukut, dua tahun lalu.

Tertuduh, G Panjjawarnan, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai penjawat awam yang bertugas sebagai pembantu perawatan kesihatan di Klinik Kesihatan Lukut di Port Dickson terlibat dalam urusan penerimaan wang awam dengan menulis resit rasmi kerajaan melebihi jumlah yang sepatutnya dibayar kepada Klinik Kesihatan Lukut.

Perbuatan itu dilakukan pada 14 Mei 2019 di Klinik Kesihatan Lukut di Port Dickson.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Peguam Hasvinder Singh Gill merayu supaya anak guamnya diberi jaminan RM2,000 atas alasan tertuduh memberi kerjasama sepanjang proses siasatan.

Katanya, tertuduh juga menanggung kos perubatan suami yang menghidap angin ahmar dan seorang anak berusia 14 tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali

Mahkamah memerintahkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) terdekat setiap bulan sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes pada 21 Februari depan.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!