X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

[VIDEO] Sembilan 'Superman' kena cekup di LPT1

Motosikal yang ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan di LPT 1 dibawa ke Balai Trafik Kuantan untuk tindakan lanjut. Foto: FB Polis Trafik KUANTAN.
A
A

KUANTAN - Remaja berusia 16 tahun antara sembilan penunggang motosikal yang ditahan polis selepas dikesan mempamerkan aksi tunggangan ala 'Superman' di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) di sini pada awal pagi Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Zahari Wan Busu berkata, kumpulan penunggang berusia 16 hingga 33 tahun itu ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan mencegah lumba haram yang diadakan dari Tol Kuantan menghala ke Tol Jabor.

Menurutnya, ketika kejadian mereka didapati menunggang dalam aksi bahaya dengan meniarap, menundukkan kepala dan melakukan 'zig-zag'.

"Perbuatan bahaya ditunjukkan kumpulan penunggang itu berjaya dikesan anggota polis bertugas sebelum semua mereka ditahan untuk tindakan lanjut.

"Semua yang ditahan dibawa ke Balai Trafik Kuantan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Wan Mohd Zahari berkata, bertindak atas maklumat adanya kegiatan lumba haram di laluan itu, pihaknya menggerakkan operasi bermula jam 11 malam pada Selasa dan berakhir kira-kira jam 5 pagi hari berikutnya.

"Dalam operasi yang disertai lapan anggota bersama seorang pegawai itu, 41 saman turut dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan termasuk menggunakan nombor pendaftaran 'fancy'.

"Turut disita sembilan motosikal yang didapati diubahsuai tidak mengikut spesifikasi dibenarkan," katanya.

Beliau berkata, dalam operasi membanteras kegiatan samseng jalanan dijalankan pada 7 hingga 9 Januari lalu,

enam ditahan atas kesalahan menunggang dan memandu secara berbahaya.

"Aksi tunggangan ala 'superman dan menunggang secara 'zig-zag' sangat bahaya bukan hanya kepada penunggang itu sendiri malah kepada pengguna jalan raya yang lain.

"Operasi ini akan diteruskan bagi memastikan kegiatan itu dapat dibendung demi menjaga keselamatan pengguna jalan raya di daerah ini," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!