Azam Baki tidak boleh tarik nafas lega

Tan Sri Azam Baki
Tan Sri Azam Baki
A
A
A

KINI sudah terjawab tentang hasil siasatan dibuat oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) tentang dakwaan pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki.

Bagaimanapun, Azam tidak boleh menarik nafas lega apabila hasil siasatan dibuat Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih lagi belum didedahkan kepada orang ramai.

Ini kerana pada 7 Januari lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyatakan bahawa pihak polis akan memulakan siasatan selepas menerima laporan tentang Azam.

Hamzah berkata, difahamkan kes melibatkan Azam kini disiasat mengikut Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

“Kita baru dapat laporan tapi kita juga telah mendengar bahawa sesuatu kesalahan yang berlaku ada mengikut akta tertentu.

“Kalau kesalahannya dilakukan atas sifat menyalahi Akta Suruhanjaya Sekuriti, mereka akan buat siasatan dan kemudian kita akan menerima maklum apa yang berlaku.

“Kalau ada kesalahan lain, akan kita mulakan siasatan tersebut,” katanya.

Jadi, apakah hasil siasatan yang dibuat oleh pihak polis nanti tentang perkara ini.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu, SC menerusi kenyataan menjelaskan bahawa tiada pelanggaran syarat di bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) berhubung akaun dagangan Azam.

Bagaimanapun, timbul tanda tanya tentang percanggahan kenyataan dibuat oleh SC dan dibuat Azam yang sebelum ini menyatakan bahawa beliau membenarkan adiknya, Nasir Baki membeli saham menggunakan akaun dagangannya.

SC berkata, ia mendapati bahawa Azam mempunyai kawalan ke atas akaun dagangannya sendiri dan telah menggunakannya untuk berdagang saham.

“SC ingin menjelaskan bahawa bukti bebas yang dikumpul semasa siasatan ke atas akaun dagangan Azam menunjukkan bahawa Azam adalah pemegang akaun yang dinamakan dan mempunyai kawalan ke atas akaun dagangan tersebut.

"(Dan) Azam mengendalikan akaun yang dibukanya kerana beliau telah memberi arahan untuk membeli, menjual dan memindahkan sekuriti daripada akaun tersebut,” kata suruhanjaya terbabit.

Pada Selasa, SC menyatakan mereka telah menamatkan inkuiri berkaitan akaun dagangan Azam dan berdasarkan kepada bukti yang dikumpul, mereka tidak dapat membuat penemuan secara konklusif bahawa berlakunya pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) SICDA.

Pada 5 Januari, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) berpuas hati dengan penjelasan Azam berhubung dakwaan memiliki saham dengan jumlah yang melampau.

Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, hasil penjelasan dibuat, pemilikan saham yang menjadi pertikaian itu sebenarnya adalah milik Nasir Baki.

Justeru, beliau berkata, LPPR mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau 'conflict of interest' dalam perkara tersebut.