Ubah stigma terhadap penagih dadah

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

ISU melibatkan penyalahgunaan dadah dalam negara ini seolah-olah semakin parah.

Kes-kes dadah terus meningkat ketika negara berdepan Covid-19, krisis ekonomi serta bencana banjir baru-baru ini.

Pada Sabtu lalu, seorang individu berusia 28 tahun tergamak memenggal kepala ibu kandungnya dalam kejadian di Kampung Baru Pasir Penambang, Selangor disebabkan tidak mendapat wang untuk membeli dadah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, suspek didapati terbabit dalam penyalahgunaan dadah sejak empat tahun lalu dan dipercayai mengalami ketagihan teruk sehingga sanggup memenggal kepala ibu kandungnya.

Pada Isnin lalu, tular sebuah video yang memaparkan seorang remaja dimandikan seperti jenazah selepas ditangkap kerana mencuri tabung di Masjid Al Islahiah Kuang, Rawang.

Pada awalnya insiden panas itu mendapat pelbagai reaksi orang ramai. Ada yang menyokong tindakan tersebut kerana dianggap sebagai memberi pengajaran kepada masyarakat.

Namun begitu, tidak kurang yang mengecam dengan alasan kasihan dan kelakuan itu seolah-olah mencerminkan bahawa agama Islam membenarkan berbuat zalim kepada umatnya.

Selepas isu itu menjadi bualan hangat dalam kalangan netizen di media sosial, imam terbabit telah meletakkan jawatan.

Artikel Berkaitan:

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd Zawawi Ahmad Mughni mengesahkan telah menerima permohonan peletakan jawatan itu.

Kemudiannya, pada Jumaat, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar mengesahkan bahawa tujuan sebenar remaja berkenaan mencuri tabung masjid adalah demi mendapatkan wang untuk bekalan dadah, bukan untuk membeli ubat datuknya seperti yang didakwa banyak pihak.

Sungguhpun begitu, nasi telah menjadi bubur. Ada netizen pertahankan penagih dadah, imam pula letak jawatan. Apa pengajaran yang boleh didapati melalui insiden tersebut.

Adakah setiap perbuatan jenayah yang dilakukan oleh seseorang itu wajar diberi pujian dan kata-kata semangat, manakala tindakan menghukum demi mendidik anak bangsa dikecam dan disifatkan menjatuhkan imej Islam?

Apa yang penulis cuba terangkan adalah bahawa setiap tindakan boleh mendatangkan implikasi yang besar sehingga boleh menjejaskan reputasi, imej dan periuk nasi seseorang. Stigma sebegini perlu diperbetulkan terlebih dahulu.

Jika sebelum ini masyarakat beranggapan bahawa penagih dadah adalah dalam kalangan penduduk setinggan tetapi sekarang ia merangkumi semua golongan.

Golongan yang menggunakan dadah kini sudah pelbagai sehinggakan terdapat individu daripada kumpulan profesional yang mengambil dadah sebagai perangsang untuk tujuan kerja.

Perkara itu didedahkan oleh Presiden Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), Ramli Abd Samad di mana golongan berkenaan menggunakan dadah sehingga merosakkan sistem otak dan hilang kawalan diri mereka.

Ujarnya, pihak Pengasih telah pun merawat penagih dadah yang terdiri daripada profesor, arkitek, jurutera, akauntan dan pensyarah.

Perkembangan masalah tersebut dijangka mendorong kepada peningkatan kes-kes jenayah di negara ini.

Pakar Psikologi Kaunseling Rawatan dan Pemulihan Dadah, Dr Azemi Shaari berpandangan bahawa penagih dadah jenis syabu atau methamphetamine cenderung bertindak agresif dan berada di luar batasan pemikiran normal manusia.

Jelasnya, kesan pengambilan syabu boleh berlaku dalam dua suasana, iaitu pertama, apabila individu itu akan tidur, satu lagi dia akan berperang dengan diri sendiri antara tidur dengan tidak.

Jadi apabila penagih dadah berada dalam keadaan tersebut, dia tidak boleh diganggu dan dibimbangi akan memberikan tindak balas negatif.

Sehubungan itu, penulis berharap agar masyarakat mengubah pemikiran yang suka menghentam dan mengkritik atas sesuatu perkara tanpa asas dan fakta yang kukuh.

Di samping itu, budaya jaga tepi kain orang dalam nada yang positif perlu diterapkan dalam komuniti Keluarga Malaysia agar isu seperti dadah dapat ditangani bersama.

* Mukhriz Mat Husin ialah wartawan Sinar Harian