Semoga RFID lancarkan perjalanan pulang sempena hari raya

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

KETIKA ini pengendali Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) sedang giat memperluaskan sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) sebagai satu lagi cara bayaran tol tanpa tunai yang lebih pantas.

Touch n Go (TnG) dan Smart Tag yang mahu dikurangkan secara berperingkat telah menyebabkan ramai yang mula beralih kepada RFID.

Namun, baru sehari perkhidmatan RFID itu dilaksanakan di 83 plaza tol lebuh raya Plus bermula 15 Januari lalu, sudah pun berlaku kesesakan teruk di Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Ada kenderaan yang memasuki lorong RFID terpaksa mengundur kerana sistem itu didakwa gagal mengesan pelekat pada kenderaan.

Melihat kepada situasi itu, Merak Jalanan bimbang jika keadaan sama berlaku ketika orang ramai pulang ke kampung pada hari raya nanti.

Tapi Merak Jalanan berfikiran positif, mungkin kerana ramai pengguna baharu, maka banyak kesilapan berlaku termasuk salah cara melekatkan tag di lampu atau cermin hadapan kenderaan.

Bagi pengguna kali pertama, perasaan gemuruh dan bimbang palang tol tidak terangkat juga antara faktor mereka terlalu memperlahankan kenderaan ketika memasuki lorong berkenaan.

Masih ada tiga bulan lagi sebelum Aidilfitri. Pihak Plus perlu bertindak menambah baik sistem pengesanan di tol selain pengguna dapat memastikan tag RFID di kenderaan mereka berada dalam keadaan baik.

Artikel Berkaitan:

Diharapkan penggunaan teknologi pengimbasan itu dapat mempercepatkan perjalanan pulang ke kampung dan bukan memburukkan lagi situasi kesesakan jalan raya.

Mengenai harga RM35 bagi seunit RFID yang terlalu mahal itu pula, Merak Jalanan gesa kerajaan campur tangan supaya harga itu lebih munasabah.

Tolonglah ambil perhatian serius dan bantu pengguna yang masih bergelut dengan peningkatan perbelanjaan harian akibat kenaikan harga barang.