Lebih 80 peratus wanita Malaysia belum jalani ujian mamogram

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

GOLONGAN wanita tidak boleh memandang remeh terhadap saranan kerajaan agar menjalani ujian mamogram bagi pengesanan awal kanser payudara.

Ini kerana lebih 80 peratus wanita di negara ini belum menjalani ujian mamogram. Nisbah menunjukkan 34.1 bagi setiap 100,000 wanita di Malaysia berdepan dengan penyakit tersebut.

Berdasarkan statistik pada tahun lalu, lebih 8,000 wanita disahkan menghidap kanser payudara dan menurut Laporan Registri Kanser Kebangsaan Malaysia 2012-2016, sebanyak 47.9 peratus daripada kes kanser payudara dikesan ketika sudah berada pada tahap tiga serta empat.

Sehubungan itu, golongan wanita disaran memanfaatkan pelbagai inisiatif di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk segera membuat saringan awal.

Timbalan Menterinya, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff baru-baru ini menasihatkan agar golongan wanita supaya tidak menunggu sehingga keadaan parah baru ujian saringan hendak dilakukan sebaliknya wanita mengambil peluang dan kesempatan yang diberikan.

Kerajaan menerusi Bajet 2022 turut memperuntukkan RM11.5 juta bagi saringan dan ujian kanser payudara serta serviks di seluruh negara.

Selain itu, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) memperkenalkan Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe) sebagai usaha mempromosikan program subsidi ujian berkenaan.

Bagi menggalakkan wanita menjalani ujian tersebut, LPPKN menyediakan kemudahan pengangkutan dari Klinik Nur Sejahtera atau pusat komuniti ke pusat mamogram.

Artikel Berkaitan:

Elaun makan RM10 diberikan kepada klien yang dirujuk menjalani ujian di pusat mamogram bagi jarak lebih 200 kilometer atau perjalanan lebih empat jam sehala dari tempat berkumpul.

Bantuan kemudahan penginapan sebanyak RM110 sehari juga diberi kepada klien yang tidak dapat menyelesaikan urusan mamogram pada hari yang sama.

Ingatlah selain kanser payudara, golongan wanita turut berdepan ancaman kanser ovari dan serviks. Pengesanan awal dapat menyelamatkan nyawa.