Covid-19: Sabah rekod 73 kes daripada kluster baharu sekolah di Sandakan

Gambar kecil: Masidi Manjun
Gambar kecil: Masidi Manjun
A
A
A

KOTA KINABALU - Sabah merekodkan kluster baharu Covid-19 melibatkan institusi pendidikan dengan kes indeks seorang pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sandakan dan setakat Rabu, sebanyak 73 kes positif direkodkan daripada kluster itu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, pelajar berumur 16 tahun itu dikesan positif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan RTK AG pada 16 Januari lalu dan telah dikuarantin serta diberi rawatan lanjut.

"Kes indeks membuat saringan selepas bergejala demam, batuk dan selesema pada hari sama. Saringan terhadap 117 pelajar mengesan 72 lagi kes positif Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif 73 kes. Semua kes positif dalam kategori ringan (satu dan dua) telah dikuarantin dan diberi rawatan sesuai.

"Kluster Jalan Pertukangan-Sandakan ialah kluster institusi pendidikan kerana berlaku di asrama SMK Sandakan di Jalan Pertukangan, mukim Pantai Elopura, Sandakan,” menurutnya dalam kenyataan pada Rabu malam.

Masidi, yang juga jurucakap kerajaan Sabah berkaitan Covid-19, berkata, secara keseluruhan, sebanyak 242 kes baharu direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif 244,823 kes.

Beliau berkata, seramai 230 pesakit sembuh menjadikan jumlah kumulatif 237,074 orang manakala 724 masih menerima rawatan.

Katanya, dua kes kematian dilaporkan hari ini iaitu masing-masing satu di Tuaran dan Kota Marudu. - Bernama

Artikel Berkaitan: