X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 18 Mei 2022

Sulaiman kagum Tee Tong masih sihat pada usia 107 tahun

Sulaiman Md Ali (kiri) beramah mesra bersama warga emas berusia 106 tahun, Soh Tee Tong semasa menziarahinya di rumah dekat Jalan Kolam Air pada Rabu. - Foto Bernama
A
A

ALOR GAJAH - "Syukur... Tuhan kasi (beri) umur panjang”. Demikian ungkapan spontan Soh Tee Tong, ayah kepada legenda bola sepak negara, Datuk Soh Chin Aun apabila ditanya rahsia dirinya yang kekal sihat hingga saat ini meskipun sudah berusia 107 tahun.

Daya ingatannya masih baik, susuk tubuh kurus itu nyata masih cergas malah menurut Chin Aun, bapanya mampu berjalan, namun sejak kebelakangan ini agak kurang beriadah di luar atas faktor bimbang jangkitan Covid-19.

Menurut Chin Aun juga, ayahnya yang dilahirkan pada 29 Julai 1916 itu dikatakan masih mampu memandu dengan baik ketika berusia 90 tahun.

Malah, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang mengunjunginya lewat petang Rabu turut kagum dengan semangat dan tahap kesihatan yang dimiliki ayah kepada lapan anak itu.

"Bagi seseorang yang berusia 107 tahun dan menjadi individu tertua di Alor Gajah, saya kagum. Apa yang kita tanya, beliau masih mampu menjawab dengan baik, ingatannya bagus malah mampu mengenali kenalannya.

"Memang usia ini rahsia Allah tapi mungkin di sebaliknya berkaitan dengan pemakanan, cara hidup yang membuatkan beliau sihat hingga kini," katanya kepada pemberita selepas mengunjungi dan menyampaikan sumbangan sempena sambutan Tahun Baharu Cina kepada Tee Tong di kediamannya di Jalan Kolam Air di sini pada Rabu.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem.

Sebelum itu, Sulaiman sempat meluangkan masa hampir 25 minit berbual dengan Tee Tong bertanyakan kisah lama dan pengalaman beliau yang pernah menjalankan perniagaan kedai runcit di pekan Alor Gajah.

Dalam pada itu, Sulaiman menasihati masyarakat Tionghoa di negeri ini supaya memanfaatkan kelonggaran bagi acara tradisi makan besar dan aktiviti ziarah pada Tahun Baharu Cina yang diputuskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan sebaiknya dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Malah, beliau yakin kerajaan memberi kelonggaran pada sambutan kali ini memandangkan setakat dua hari lalu, 93 peratus rakyat Melaka sudah lengkap vaksinasi, manakala 35 peratus sudah menerima dos penggalak.

"Namun, kita kena ingat bahawa varian Omicron semakin meningkat. Jadi suka saya menasihati mereka yang menyambut Tahun Baharu Cina supaya menjaga dan mematuhi SOP ditetapkan.

"Dengan mematuhi SOP ini, insya-Allah kita boleh bergerak dan mengadakan aktiviti dalam perayaan seperti biasa, waima perayaan apa pun dengan syarat patuhi SOP ditetapkan,” katanya. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!