Dasar Agrikomoditi Negara pacu pembangunan komoditi

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan ucapan semasa Majlis Pelancaran Program Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia malam ini.- Foto Bernama
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan ucapan semasa Majlis Pelancaran Program Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia malam ini.- Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) 2021-2030 bakal memacu pembangunan sektor komoditi negara dengan meningkatkan daya saing dan perkembangan teknologi.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini selaras dengan norma baharu dan peningkatan penggunaan digital pasca Covid-19.

"DAKN 2021-2030 yang akan dilancarkan oleh Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK) bagi menggantikan Dasar Komoditi Negara (DKN) 2011-2020 memayungi pembangunan agrikomoditi negara agar sektor ini terus berdaya saing dan kekal terpelihara sepanjang zaman," katanya dalam ucapan Majlis Pelancaran Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia dekat sini, pada Rabu.

Turut hadir, Menteri KPPK, Datuk Zuraida Kamaruddin dan Timbalan-Timbalannya, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, Datuk Willie Mongin serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Menurutnya, DAKN 2021-2030 akan melahirkan pekebun kecil pintar yang mengamalkan pertanian moden menerusi penggunaan teknologi.

"Dasar ini bakal meningkatkan daya saing usahawan bumiputera dalam sektor industri hiliran agrikomiditi," katanya

Beliau berkata, dasar itu juga akan digunakan sebagai rujukan kepada industri komoditi negara dalam aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta ke arah mencapai Agenda Pembangunan Mampan 2030.

"Usaha ini seterusnya meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sektor ini yang amat penting kepada pembangunan negara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri berkata, sektor itu telah menyumbang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang dianggarkan RM85 bilion.

Ia melibatkan sumbangan KDNK Huluan Agrikomoditi adalah RM46 bilion manakala Hiliran RM38 bilion.

Ujarnya, meskipun pandemik Covid-19 melanda negara, nilai eksport produk agrikomoditi pada tahun 2020 terus kukuh pada RM151.3 bilion dengan mencatatkan peningkatan sebanyak 17.8 peratus berbanding RM128.5 bilion pada tahun 2019.

"Pada tahun 2021 pula, jumlah eksport agrikomoditi terus mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan walaupun negara masih berada dalam pandemik Covid-19.

"Saya dimaklumkan, sehingga bulan November 2021, pendapatan eksport dianggarkan RM189.8 bilion iaitu meningkat 41.6 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2020," katanya.

Katanya, perubahan itu banyak didorong oleh peningkatan import di negara pasaran utama selain nilai komoditi yang tinggi khususnya membabitkan produk berasaskan sawit.

"Contohnya, jumlah eksport produk berkaitan sawit ke India telah mencatatkan peningkatan yang membanggakan iaitu sekali ganda iaitu daripada RM8.5 bilion pada tahun 2020 kepada RM17.8 bilion pada tahun 2021," katanya.

Tambah Ismail Sabri, jumlah eksport kayu dan produk berasaskan kayu ke India juga meningkat, walaupun pada kadar yang lebih daripada RM781 juta kepada RM839 juta bagi tempoh yang sama, meningkat 7.5 peratus.

"Malaysia juga muncul sebagai negara pengeluar terbesar dunia bagi sarung tangan getah apabila menguasai 65 peratus pasaran produk berkenaan," katanya.

Menurutnya, kerajaan sentiasa menaruh harapan tinggi agar sektor agrikomoditi yang merupakan sumber pendapatan bagi hampir satu juta pekebun kecil dapat membantu negara menjana semula ekonomi dan mengembalikan kestabilan ekonomi rakyat.

"Saya amat berharap agar tuan-tuan dan puan-puan selaku jentera kerajaan dapat membantu memperbaiki taraf hidup dan meningkatkan pendapatan pekebun kecil untuk kesejahteraan dan kemakmuran Keluarga Malaysia.

"Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada mereka yang terlibat dalam sektor ini melalui Jelajah Agrikomoditi nanti, terutama pekebun kecil di kampung yang sentiasa setia memberi pengorbanan kepada tanaman Agrikomoditi," katanya.

Jelajah Agrikomiditi #KeluargaMalaysia 2022 merupakan inisiatif turun padang KPPK dan agensi di bawahnya dalam mendekati serta menyantuni kumpulan sasar seperti pemain industri, pekebun kecil, masyarakat umum dan badan bukan kerajaan serta pihak berkepentingan.