Kedah hapus kira pinjaman pendidikan SPPNK

Muhammad Sanusi Md Nor
Muhammad Sanusi Md Nor
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah bersetuju menghapus kira pinjaman pendidikan di bawah Seksyen Pembiayaan Pendidikan Negeri Kedah (SPPNK) berjumlah RM631.657.14 melibatkan seramai 45 peminjam tahun lalu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, insentif diberikan atas faktor seperti peminjam meninggal dunia, sakit kronik, penukaran pinjaman boleh ubah kepada pelajar cemerlang dan pemberian pengurangan bayaran balik diskaun 50 peratus.

"Bermula Ogos 2021 sehingga Disember 2021, hapus kira pinjaman atas faktor peminjam meninggal dunia telah diberikan kepada waris dan penjamin seorang peminjam SPPNK yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

"Sehingga 4 Disember lepas, empat peminjam yang menghidap penyakit kronik juga telah diberikan hapus kira pinjaman SPPNK mereka, " katanya selepas Mesyuarat Exco Kedah di Wisma Darul Aman di sini pada Rabu.

Beliau menjelaskan, insentif hapus kira turut diberikan melibatkan pinjaman berubah kepada biasiswa bagi peminjam yang mendapat keputusan cemerlang dengan

"PNGK 3.75 ke atas bagi pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda sepenuh masa di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta dalam negara.

"Pemberian pengurangan bayaran balik pinjaman sebanyak 50 peratus pula diberikan kepada peminjam yang mendapat PNGK 3.5 sehingga 3.74 bagi pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda sepenuh masa di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta dalam negara," katanya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Kumpulan Wang Amanah Pembiayaan Pendidikan Negeri Kedah bersetuju kuat kuasa garis panduan baharu Perjanjian Pinjaman Tahun 2022 dan seterusnya.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan garis panduan baharu, peminjam dengan keputusan PNGK 3.75 ke atas boleh mendapat diskaun 50 peratus dan diskaun 25 peratus bagi mereka memperoleh PNGK 3.50 hingga 3.74," katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi memberitahu kerajaan negeri turut bersetuju menambah RM1 juta lagi peruntukan untuk bantuan pelajar melanjutkan pengajian di IPT awam dan swasta dalam negara sahaja.