X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

UPM perjelas isu jumlah graduan PhD

Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-44. - Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat Universiti Putra Malaysia (UPM) menegaskan kenyataan di laman-laman portal berita tempatan yang mempertikaikan bilangan graduan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) UPM adalah mengelirukan dan tidak tepat.

UPM dalam satu kenyataan berkata, kaedah Pengajian PhD di UPM adalah melebihi syarat minima yang telah ditetapkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi memastikan kualiti graduan yang dihasilkan oleh UPM sentiasa dijaga dengan baik.

“Tempoh pengajian PhD adalah dalam lingkungan tiga hingga lima tahun di mana pelajar wajib membuat penyelidikan dan mengikuti minima 12 jam kredit kursus.

“Selain itu, pelajar perlu membuat pembentangan cadangan penyelidikan dan lulus Peperiksaan Komprehensif yang dinilai oleh panel sebelum tahun kedua bagi melayakkan mereka untuk meneruskan pengajian.

“Pelajar juga perlu menghasilkan tesis yang merupakan syarat wajib lulus untuk dianugerahkan PhD dan tesis pula akan dinilai sekurang-kurangnya tiga orang penilai yang terdiri daripada seorang penilai luar (Universiti luar negara seperti United State, United Kingdom, Australia dan sebagainya) dan dua lagi penilai dalaman serta perlu lulus peperiksaan viva voce,” menurut kenyataan itu pada Rabu.

Menurut kenyataan itu, senat UPM juga menetapkan dua penerbitan jurnal berindeks (Citation Indexed Journal) sebagai syarat bergraduat bagi memastikan kualiti penyelidikan graduan PhD yang dihasilkan.

"UPM mempunyai kekuatan tenaga akademik berkelulusan PhD seramai 1,649 orang yang layak menyelia pelajar PhD dan ia telah mencerminkan kemampuan universiti dalam menghasilkan graduan PhD dengan merujuk kepada amalan terbaik di peringkat antarabangsa.

“Jumlah graduan PhD yang dikeluarkan oleh UPM merupakan bilangan yang lazim dikeluarkan oleh Universiti Penyelidikan dan ia selari dengan amalan terbaik universiti terkemuka dunia di mana enrolmen pelajar PhD merupakan indikator kecemerlangan sesebuah universiti," kata kenyataan itu.

UPM sebagai salah satu Universiti Penyelidikan di Malaysia tidak ketinggalan dalam terus menyumbang meningkatkan penyelidikan dan mengeluarkan modal insan yang berilmu dan berkualiti tinggi.

“Berkaitan dengan dakwaan penulis bahawa universiti terkemuka dunia yang hanya mengeluarkan tidak lebih daripada 20 graduan setahun adalah tidak benar.

“Kerana berdasarkan maklumat yang diperoleh dari laman web rasmi, Massachusetts Institute of Technology (MIT) pada 2020 telah mengeluarkan 563 graduan PhD manakala Harvard University telah mengeluarkan 572 graduan PhD serta dari segi ranking dunia, MIT berada pada kedudukan pertama manakala Harvard University berada pada kedudukan kelima dalam QS World University Ranking 2022,” jelasnya.

Oleh itu, UPM menegaskan jumlah graduan PhD yang dikeluarkan oleh UPM bagi konvokesyen kali ke-44 kohort pelajar 2020 merupakan hasil pengajaran, pembelajaran, penyelidikan berkualiti tinggi.

"Ia telah dinilai di peringkat kebangsaan serta antarabangsa bagi menjamin kualiti sebagai bukti pendidikan tinggi di Malaysia adalah diiktiraf dan setaraf di peringkat antarabangsa," kata kenyataan itu.

Majlis konvokesyen UPM ke-44 melibatkan seramai 398 penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), sarjana (1,093 orang), sarjana muda (3,544 orang) dan diploma (660 orang).


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!