Mahkamah Persekutuan benar guna LKAN dalam rayuan Taman Rimba Kiara

1189084
1189084
A
A
A

PUTRAJAYA - Penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dibenarkan merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 Siri 2 dan tambahan Pelan Bandaraya Kuala Lumpur dalam rayuan yang dikemukakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan empat yang lain untuk mengembalikan semula cadangan perintah pembangunan projek Taman Rimba Kiara.

Ia berikutan keputusan oleh panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Datuk Nallini Pathmanathan dalam memutuskan dokumen yang diminta oleh penduduk TTDI adalah dokumen awam di bawah Akta Keterangan dan boleh diterima.

Bagaimanapun, beliau berkata, isu mengenai kerelevanan dokumen itu akan ditangani pada pendengaran rayuan itu.

Beliau juga berkata, peguam yang mewakili pihak-pihak dalam rayuan itu bebas untuk menyangkal dokumen berkenaan.

Hakim Nallini yang bersidang bersama Hakim Puan Sri Zaleha Yusof dan Hakim Datuk Rhodzariah Bujang berkata, dokumen itu dimasukkan dalam rekod rayuan dan oleh itu penduduk tidak perlu memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran bagi mengemukakan dokumen tersebut sebagai bukti baharu dalam rayuan tersebut.

Sehubungan itu, beliau menolak permohonan kebenaran oleh penduduk untuk memasukkan dokumen berkenaan sebagai bukti baharu dalam rayuan tersebut.

Dalam prosiding yang dijalankan secara dalam talian, peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar yang mewakili penduduk, mahu Bab 6 LKAN 2019 Siri 2 yang diterbitkan dan dibentang di Dewan Rakyat pada 29 September 2021 dan tambahan Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 yang telah diterima pakai dan digazetkan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur pada 30 Oktober 2018 untuk dimasukkan dalam rayuan.

Beliau berkata, dokumen berkenaan relevan untuk menentukan rayuan, terutamanya berkaitan dengan isu sama ada Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 mempunyai kesan undang-undang.

Artikel Berkaitan:

Pada 1 September tahun lepas, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pemaju Memang Perkasa Sdn Bhd (MPSB), Yayasan Wilayah Persekutuan dan Persatuan Penduduk Perumahan Awam Bukit Kiara memperoleh kebenaran untuk meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membatalkan perintah pembangunan projek perumahan Taman Rimba Kiara.

Mahkamah Rayuan pada 27 Januari 2021, membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 November 2018 yang menolak semakan kehakiman oleh penduduk bagi membatalkan kebenaran perancangan bersyarat dan perintah pembangunan dikeluarkan DBKL.

Penduduk memfailkan semakan kehakiman itu pada 11 Ogos 2017 melalui badan pengurusan Trellises Apartment, Kiara Green Townhouse, Residence Condominium, TTDI Plaza Condominium, The Greens Condominium, selain Persatuan Penduduk TTDI serta empat penduduk dan pemilik rumah di TTDI.

Mereka menamakan DBKL, Yayasan Wilayah, MPSB dan Persatuan Penduduk Perumahan Awam Bukit Kiara sebagai responden dalam semakan kehakiman itu.

Penduduk memohon perintah certiorari bagi membatalkan keputusan DBKL berhubung cadangan pembangunan bercampur termasuk lapan blok pangsapuri servis mewah dan pangsapuri 29 tingkat terdiri daripada 350 unit rumah mampu milik yang akan dibina di atas sebidang tanah yang merupakan sebahagian daripada taman awam yang dikenali sebagai Taman Rimba Kiara.

Peguam B Thangaraj mewakili DBKL, Datuk Seri Gopal Sri Ram dan Khoo Guat Huat mewakili MPSB manakala Tan Sri Cecil Abraham bagi pihak Yayasan Wilayah Persekutuan dan Datuk Harpal Singh Grewal mewakili Persatuan Penduduk Perumahan Awam Bukit Kiara. - Bernama