Empat bot nelayan Vietnam dijadikan tukun di Pulau Redang

Empat bot nelayan Vietnam yang dilucut hak ditenggelamkan untuk dijadikan tukun di Pulau Redang.
Empat bot nelayan Vietnam yang dilucut hak ditenggelamkan untuk dijadikan tukun di Pulau Redang.
A
A
A

KUALA NERUS - Empat bot nelayan Vietnam yang dilucut hak ditenggelamkan di perairan Pulau Redang, di sini, pada Rabu untuk dijadikan tukun tiruan.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, proses pelupusan bot berkenaan pertama dilakukan tahun ini.

Menurut beliau, bot nelayan Vietnam itu ditahan serta dilucut hak oleh mahkamah tahun lalu atas kesalahan menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara.

"Tindakan menenggelamkan bot berkenaan merupakan tindakan tegas Maritim Malaysia dalam memerangi pencerobohan bot nelayan asing," katanya dalam kenyataan, di sini pada Rabu.

Menurutnya, sehingga kini, Maritim Malaysia Terengganu telah menenggelamkan 131 bot nelayan asing yang dianggarkan bernilai RM196.5 juta.

Katanya, sebanyak 51 buah bot masih berada di tiga pusat tahanan vesel (PTV) Terengganu, Zon Kemaman dan Bukit Datu.

Tambah beliau, program pelupusan itu turut mendapat kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia, Taman Laut dan Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT).

"Maritim Malaysia akan terus melaksanakan rondaan bagi mengesan dan memerangi isu pencerobohan nelayan asing di samping aktiviti-aktiviti yang melanggar undang-undang di sekitar perairan Terengganu," katanya.

Artikel Berkaitan: