X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 23 Mei 2022

Kedah nafi projek tambak laut jejas mata pencarian nelayan

Laporan Sinar Harian Isnin lalu. Gambar kecil: Muhammad Sanusi Md Nor
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri menafikan projek tambakan laut di Langkawi akan menjejaskan mata pencarian nelayan.

Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia berikutan zon tangkapan hidupan marin terletak lebih jauh ke garis pantai yang diperuntukkan untuk projek berkenaan.

"Kawasan tangkapan bukan di kawasan jeti tetapi lokasi lain dan sebenarnya nelayan telah membina rumah, kedai dan struktur lain di tapak itu.

"Untuk makluman, projek tambakan laut ini telah lama diluluskan, kira-kira 10 tahun lepas dan bukanlah projek baharu," katanya kepada pemberita pada Mesyuarat Exco Kedah di Wisma Darul Aman, di sini, pada Rabu.

Sehubungan itu, katanya, pemaju diminta menyediakan tapak baharu untuk penempatan semula jeti bagi nelayan di kawasan itu apabila projek terbabit ingin dilaksanakan.

"Cadangan lokasi baharu akan dijadikan prasyarat dalam meluluskan pelan pembangunan yang dikemukakan pemaju.

"Setakat ini, pemaju projek tambakan laut telah mengemukakan pelan pembangunan projek untuk kelulusan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Sanusi bagaimanapun tidak mengetahui jenis projek itu.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan nelayan yang mencari rezeki di sepanjang Sungai Menghulu dekat Kuah, Pulau Langkawi berada dalam kebimbangan selepas projek penambakan laut bakal dilakukan di kawasan tersebut

Presiden Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, tinjauan pihaknya mendapati nelayan di kawasan berkenaan membantah keputusan itu kerana ia boleh mengancam alam sekitar dan menjejaskan mata pencarian mereka.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!