40,923 wanita daftar skim i-Suri sejak Ogos

Hannah Yeoh. - Foto Bernama
Hannah Yeoh. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR – Seramai 40,923 orang telah berdaftar di bawah Skim Caruman Insentif Suri (i-Suri) sejak ia diperkenal 15 Ogos lalu.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata Fasa 1 dan Fasa 2 i-Suri dijalankan secara caruman sukarela dan bersasar iaitu wanita yang berdaftar dalam Pangkalan Data Kemiskinan Nasional (eKasih) di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri sehingga 30 Jun lalu serta memenuhi kriteria kelayakan yang ditetapkan.

“Pelaksanaan Fasa 1 dan 2 tidak melibatkan caruman daripada suami tetapi ahli sendiri dan jangkaan tempoh pelaksanaannya adalah selama dua tahun (tahun 2018 dan 2019).

“Seterusnya, dijangkakan pada 2020, pelaksanaan i-Suri Fasa 3 iaitu caruman secara wajib akan diperkenalkan yang mana ia berbeza dengan Fasa 1 dan Fasa 2. Ia lebih bersifat menyeluruh yang mana sasaran adalah untuk membina asas keselamatan sosial bagi 45.4 peratus wanita yang berada di luar pasaran buruh,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Azizah Mohd Dun (BN-Beaufort) yang ingin tahu bilangan suri rumah yang disasarkan akan menerima caruman KWSP melalui program i-Suri menjelang 2020 dan bilangan suami yang telah mencarum KWSP secara sukarela kepada isteri.
Artikel Berkaitan:


Yeoh berkata bagaimanapun tempoh masa pelaksanaan caruman wajib itu tertakluk kepada dapatan dan hasil semakan terhadap kekangan perundangan yang dihadapi melibatkan akta, dasar dan peraturan sedia ada.

Katanya, setelah kekangan perundangan berjaya diselesaikan, mekanisme yang bersesuaian akan dikenal pasti bagi membolehkan Fasa 3 dan fasa seterusnya dijalankan. - Bernama