Pekerja offshore tidak mengaku liwat remaja perempuan

Tertuduh (dua dari kanan) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas dakwaan meliwat seorang remaja perempuan pada Rabu.
Tertuduh (dua dari kanan) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas dakwaan meliwat seorang remaja perempuan pada Rabu.
A
A
A

KEMAMAN - Seorang pekerja luar pesisir (offshore) tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas tuduhan meliwat remaja perempuan berusia 14 tahun dalam kejadian awal bulan ini.

Tertuduh yang berusia 25 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.

Tertuduh berdepan enam pertuduhan meliwat remaja berkenaan di rumah rakannya di sini antara jam 5 pagi hingga 10 malam pada 2 hingga 4 Januari lalu.

Oleh itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan iaitu persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan.

Wan Suhaila kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dan menetapkan 16 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh bagaimanapun gagal membayar wang jaminan dan ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis (IPD) Kemaman sehingga sebutan semula kes.

Berdasarkan fakta kes, mangsa dihantar pulang ke rumah jam 1 pagi pada 5 Januari lalu sebelum menceritakan kejadian itu kepada ibu saudaranya.

Mangsa kemudian membuat laporan polis pada hari yang sama mendakwa dia diliwat ketika tidur di rumah rakan tertuduh.

Artikel Berkaitan:

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurhanisah S H Sahul Hamid manakala tertuduh tidak diwakili peguam.