Ismail Sabri masuk UM tak guna 'kabel’ - Presiden PARFUM

Ismail Sabri (hadapan, empat dari kiri) dan rakan-rakan fakulti bergambar bersama Allahyarham Profesor DiRaja Dr Ungku Abdul Aziz yang ketika itu merupakan Naib Canselor UM. - Foto Facebook Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil
Ismail Sabri (hadapan, empat dari kiri) dan rakan-rakan fakulti bergambar bersama Allahyarham Profesor DiRaja Dr Ungku Abdul Aziz yang ketika itu merupakan Naib Canselor UM. - Foto Facebook Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak menggunakan ‘kabel’ untuk menuntut dalam jurusan undang-undangdi Universiti Malaya(UM) pada 1980, kata Presiden Pertubuhan Alumni Rumpun Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (PARFUM), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, beliau terpanggil untuk menjelaskan berkenaan isu komen berbaur fitnah yang dibuat seorang pengguna Facebook, ‘Andrew Peris’.

Menurutnya, komen tersebut mempertikaikan kelayakan pendidikan dan integriti Ismail Sabri sewaktu diterima masuk untuk meneruskan pengajian Ijazah Sarjana Perundangan (LLB) di Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya.

Kata beliau, komen Andrew Peris dianggap sebagai satu tindakan yang mencemarkan dan memburukkan imej Ismail Sabri selain mencalarkan reputasi Fakulti Undang-Undang UM.

“Fakulti Undang-Undang UM telah ditubuhkan pada 1972 di mana ketika itu Allahyarham Profesor DiRaja Dr Ungku Abdul Aziz merupakan Naib Canselor Universiti Malaya dan dekan pertama fakulti pula adalah Allahyarham Tan Sri Datuk Professor Ahmad Ibrahim.

“Allahyarham (Ahmad Ibrahim) seorang tokoh perundangan tersohor bukan hanya di Malaysia, malah di Singapura dan rantau Asia. Beliau amat disegani atas sifat integriti dan kebijaksanaannya yang mendahului masa ketika itu.

"Selaku dekan pertama, standard yang beliau tetapkan untuk fakulti mahupun pelajar yang diterima masuk amat tinggi dan tanpa kompromi, terutama pencapaian akademik pelajar-pelajar,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.

Shahrizat berkata, Allahyarham Ahmad Ibrahim juga mempunyai integriti yang tinggi dan amat sukar untuk sesiapa diterima masuk tanpa memenuhi kelayakan yang ditetapkan sebagai penuntut.

Artikel Berkaitan:

"Sangat jelas penerimaan masuk Ismail Sabri ke Fakulti Undang-Undang UM berasaskan merit. Ismail Sabri juga telah membuktikan beliau wajar mendapat biasiswa apabila berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh yang ditetapkan, seterusnya diterima masuk sebagai Peguambela dan Peguamcara.

“Fakulti Undang-Undang UM adalah yang pertama dan terulung di negara, hampir 50 tahun penubuhannya, fakulti kami berjaya melahirkan tokoh-tokoh terkemuka seperti Ketua Hakim Negara, Hakim-Hakim, Yang Dipertua, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Ahli Jemaah Menteri, Peguam Negara, Peguam-Peguam serta ahli-ahli korporat yang disegani,” ujarnya.

Jelas Shahrizat, walaupun Ismail Sabri dibesarkan dalam keluarga yang sederhana, beliau telah mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik sehingga mampu melakar sejarah apabila menjadi graduan pertama dari Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya yang dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia.