Mahkamah Rayuan putuskan lelaki kelahiran Sabah rakyat Malaysia

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini pada Rabu dalam keputusan majoriti 2-1 memutuskan bahawa seorang pemuda berusia 27 tahun yang dilahirkan di Sabah berbapakan rakyat Sarawak dan ibunya dipercayai berasal dari Indonesia, adalah warganegara Malaysia.

Hakim, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali yang menyampaikan keputusan majoriti itu berkata, Wong Kueng Hui telah memenuhi Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan (FC) dibaca bersama Seksyen 1(e) Bahagian II Jadual Kedua FC, diberikan status kerakyatan melalui kuat kuasa undang-undang.

Dalam menolak rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, hakim itu berkata Mahkamah Tinggi adalah betul apabila memutuskan pada 2019 bahawa Kueng Hui berhak di bawah undang-undang untuk menjadi rakyat Malaysia.

Keputusan majoriti itu dipersetujui oleh Hakim, Datuk M. Gunalan manakala Hakim, Datuk Azizah Nawawi menentang.

“Selepas meneliti rekod rayuan, kami mendapati tidak ada kesilapan dalam keputusan hakim Mahkamah Tinggi. Bukti yang tidak dapat dipertikaikan menunjukkan Wong (Kueng Hui) lahir di Hospital Keningau, hasil perkahwinan antara bapa kandungnya yang merupakan rakyat Malaysia dan ibu yang status kerakyatannya tidak diketahui,” kata Hakim Che Mohd Ruzima.

Beliau berkata, penghakiman majoriti bersetuju dengan hakim Mahkamah Tinggi bahawa responden (Wong) telah melakukan apa yang mungkin untuk menentukan status kewarganegaraan ibunya.

Sementara itu dalam penghakiman menentang, Hakim Azizah berkata, ibu kandung Kueng Hui meninggal dunia ketika umurnya 17 tahun dan adalah tidak benar apabila responden tidak mempunyai pengetahuan mengenai ibu kandungnya.

“Responden sebenarnya telah membuat pertanyaan dengan Kedutaan Indonesia di Malaysia. Jadi responden mengetahui ibunya berasal dari Indonesia. Oleh itu, tidak boleh dikatakan bahawa terbukti responden (Kueng Hui) tidak bernegara. Saya dengan itu membenarkan rayuan kerajaan tanpa perintah mengenai kos,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kueng Hui yang dilahirkan pada 2 Januari 1995, menghadiri prosiding secara maya itu bersama peguamnya Mohd Haijan Omar manakala Peguam Kanan Persekutuan Mohd Izhanudin Alias mewakili kerajaan Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Menteri Dalam Negeri selaku perayu.

Mahkamah Tinggi pada 21 Oktober 2019 mengiktiraf Wong yang dilahirkan di Malaysia sebagai individu tanpa negara, mengisytiharkannya sebagai warganegara Malaysia berdasarkan Seksyen 1(e) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan - peruntukan iaitu mereka yang dilahirkan di Malaysia dan tidak dilahirkan sebagai warganegara negara lain berhak di bawah undang-undang untuk kewarganegaraan Malaysia.

Hakim, Mahkamah Tinggi Datuk Nordin Hassan juga mengarahkan Ketua Pengarah JPN supaya mengeluarkan sijil kewarganegaraan atau kad pengenalan kepada Kueng Hui.

Namun, Ketua Pengarah JPN, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia pada 31 Oktober 2019 telah mengemukakan rayuan dan telah mendapat penangguhan sementara keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Bapa Kueng Hui meninggal ketika dia berusia 10 tahun, sementara ibunya yang bukan warganegara Malaysia meninggal ketika berusia 17 tahun.

Kueng Hui sebelum ini pernah memohon dua kali di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan untuk diiktiraf sebagai rakyat Malaysia, tetapi kedua-dua permohonan itu ditolak.

Kueng Hui kemudian mengemukakan tuntutan melalui semakan kehakiman pada 20 Jun 2019 untuk mendapatkan beberapa perintah mahkamah, termasuk untuk diiktiraf sebagai warganegara Malaysia. - Bernama