Perkeso Melaka bayar RM18.83 juta kepada pencarum tahun lepas

Hee Sem (dua, kanan) menyampaikan sumbangan kepada Ah Lek (tengah) sempena Program Pertubuhan Keselamatan Sosial (perkeso) Prihatin sempena Sambutan Tahun Baru Cina 2022, pada Selasa. Foto - Bernama
Hee Sem (dua, kanan) menyampaikan sumbangan kepada Ah Lek (tengah) sempena Program Pertubuhan Keselamatan Sosial (perkeso) Prihatin sempena Sambutan Tahun Baru Cina 2022, pada Selasa. Foto - Bernama
A
A
A

MELAKA - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Melaka telah membuat pembayaran faedah kepada orang berinsurans (OB) dan waris berjumlah RM18.83 juta yang melibatkan 7,479 kes sepanjang tahun lepas.

Exco Perpaduan Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem berkata, daripada jumlah itu, RM8.63 juta dibayar kepada OB yang mengalami hilang upaya sementara melibatkan 5,498 kes.

Beliau berkata, RM7.14 juta pula dibayar kepada OB yang mengalami hilang upaya kekal melibatkan 406 kes, manakala faedah pengurusan mayat (FPM) berjumlah RM1.65 juta dibayar kepada waris OB yang telah meninggal dunia akibat bencana kerja atau semasa menerima faedah hilang upaya kekal berkala, melibatkan 864 kes.

"Selain itu, Perkeso Melaka juga telah membayar pencen penakat sebanyak RM676,609.99 kepada waris OB yang telah meninggal dunia melibatkan 487 kes, manakala faedah ilat dibayar kepada pekerja yang layak dan disahkan menghidap keilatan berjumlah RM670,636.40 melibatkan 193 kes.

"Perkeso Melaka juga membayar faedah orang tanggungan (FOT) setelah pekerja atau pencarum meninggal dunia akibat bencana pekerjaan berjumlah RM55,086.34 melibatkan 31 kes," katanya kepada pemberita selepas Program Perkeso Prihatin sempena Sambutan Tahun Baharu Cina di sini, pada Rabu.

Beliau berkata, semua pekerja yang mempunyai majikan perlu memastikan bayaran caruman Perkeso dilunaskan oleh majikan setiap bulan, dan sekiranya bekerja sendiri mereka perlu membayar caruman secara konsisten supaya jika berlaku sesuatu bencana atau kemalangan sewaktu bekerja, mereka atau waris akan mendapat faedah sepatutnya.

Dalam perkembangan lain, katanya sebanyak 99 majikan di Melaka didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan sepanjang tahun lepas berbanding 90 majikan pada 2020.

Hee Sem berkata, daripada jumlah itu, 69 majikan didakwa kerana gagal membayar caruman Perkeso untuk pekerja mereka di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4); gagal membayar caruman Sistem Insurans Pekerja (SIP) di bawah Akta SIP 2017 (Akta 800) (23); dan gagal mendaftar perusahaan dan pekerja (tujuh).

Artikel Berkaitan:

"Perkeso Melaka juga telah mengeluarkan kompaun berjumlah RM8,500 kepada lapan majikan kerana lewat melapor kemalangan pekerja mereka," katanya.

Dalam program yang turut dihadiri Pengarah Perkeso Melaka Abd Razak Omar, Hee Sem turut menyampaikan FOT dan FPM kepada Tan Ah Lek, 66, yang kematian suami, Yeo Ah Choon akibat jangkitan Covid-19 ketika bertugas di sebuah syarikat minyak dan gas di Pontian, Johor pada Jun lepas.

Ah Lek yang tinggal di Taman Bukit Lintang Indah, Ayer Molek di sini menerima FOT sebanyak RM2,097 sebulan dan FPM sebanyak RM2,000. - Bernama