[VIDEO] Lee Zii Jia tinggalkan BAM

Zii Jia - Foto AFP
Zii Jia - Foto AFP
A
A
A

[DIKEMAS KINI] PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia telah menghantar surat peletakan jawatan kepada badan induk badminton itu, pada 11 Januari lalu.

Presidennya,Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria berkata, pemain berusia 23 tahun itu telah hadir ke pejabat BAM bersama kakaknya untuk menghantar surat tersebut.

Menurut beliau, beberapa siri perbincangan dengan Zii Jia dan keluarganya dijalankan bagi memujuk beliau untuk kekal bersama skuad kebangsaan.

"Saya ingin mengesahkan, Zii jia sudah menghantar surat perletakan jawatannya pada 11 Januari lalu. Selepas itu beberapa siri perbincangan sudah diadakan bersama pemain tersebut dan kakaknya.

“Sudah tentu kita ada pujuk dia untuk kekal sebab kita sudah 'built' dia sejak dari usia 13 tahun. Jadi apabila dia sudah sampai ke tahap ini sudah tentu kita tidak mahu kehilangannya.

“Sebab kita mahu bawa dia lebih tinggi supaya satu hari nanti boleh sampai satu tahap sama seperti Datuk Lee Chong Wei. Jadi, selepas kita mendengar penjelasan semua pihak, majlis sudah berbincang dan mengeluarkan satu keputusan," katanya.

Justeru kata Mohamad, satu sidang media akan diadakan pada Jumaat ini bagi menjelaskan situasi sebenar.

"Kita sudah memberi mandat kepada Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos untuk melihat perkara ini dan akan membuat satu sidang media di ABM (Akademi Badminton Malaysia) Jumaat ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut berkenaan surat perletakan jawatan tersebut, Norza menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa keputusan dibuat juara Seluruh England (2020) itu mempunyai kaitan dengan BAM.

Jelasnya, kemungkinan pemain kelahiran Kedah itu membuat keputusan tersebut disebabkan beliau melihat keutamaannya yang lain.

"Saya rasa masalah dia bukan dengan BAM kerana kalau kita lihat Chong Wei bersama BAM 19 tahun. Bila dia sampai kemuncak prestasi, BAM adalah tempat dia menjadi legenda.

"Tapi mungkin keutamaan Zii Jia lain. Apapun kita dengar dulu dan mungkin ada harga yang perlu dibayar selepas memilih untuk bergelar pemain profesional,” katanya.