Siasatan diharap rungkai punca skuad kebangsaan 'hilang' pemain

Sathianathan
Sathianathan
A
A
A

MISTERI 'kehilangan' beberapa pemain tonggak dalam skuad kebangsaan pada kempen Kejuaraan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2020 memerlukan penjelasan kukuh dan munasabah.

Bekas Ketua Jurulatih skuad Harimau Malaya B. Sathianathan berkata, terdapat kebarangkalian ketiadaan barisan pemain berkenaan dan kemerosotan prestasi pasukan negara pada kejohanan dwitahunan itu saling berkorelasi.

Katanya, misteri itu harus diterangkan secara terperinci dalam laporan Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya memandangkan kontroversi melanda skuad kebangsaan telah membawa kepada peletakan jawatan Tan Cheng Hoe sebagai pengendali pasukan.

"Pemain yang sepatutnya ada dalam pasukan negara tetapi mereka tiada. Adakah pemain-pemain ini seperti apa Tan (Cheng Hoe) kata mereka keletihan dan cedera? Pemain kali ini berbeza dan ramai (muka lama) tidak main, jadi mengapa pemain-pemain ini hilang?

"Itu apa yang saya hendak tahu dari siasatan ini, jadi kita semua boleh nilai punca kemerosotan pasukan negara. Tiba-tiba pemain yang kita harapkan tidak ada," kata Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) itu ketika dihubungi Bernama, pada Rabu.

Lebih menggusarkan, peletakan jawatan jurulatih berusia 53 tahun itu ketika Malaysia hanya memiliki enam bulan untuk melakukan persediaan menghadapi saingan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun depan.

Sathianathan menyebut dua pemain pertahanan, Matthew Davies dan La'Vere Corbin-Ong serta dua pemain tengah Muhamad Nor Azam Abdul Azih dan Mohammad Syamer Kutty Abba antara nama yang sepatutnya memperkuatkan pasukan negara di Piala AFF 2020, Disember lepas.

"Mereka ini adalah pemain-pemain yang telah beri sumbangan besar kepada pasukan negara pada awal kempen pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain empat pemain itu, turut diketepikan adalah pemain naturalisasi Mohamadou Sumareh, penjaga gol Mohd Farizal Marlias dan beberapa pemain berpotensi dengan tahap kecergasan serta minit permainan yang cukup di peringkat domestik.

Justeru, Sathianathan berharap isu ‘kehilangan’ pemain tidak akan berulang pada masa hadapan terutama menjelang pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 dengan setiap jurulatih wajar diberikan kuasa menentukan barisan pemain dikehendaki.

Pada saingan Piala AFF 2020 berlangsung di Singapura, Malaysia yang menyasarkan ke final kali kedua berturut-turut selepas edisi 2018 dengan hanya membawa keseluruhan 24 pemain berbanding 30 yang dibenarkan, terkandas di peringkat kumpulan.

Berikutan kegagalan itu, Cheng Hoe mengambil keputusan melepaskan jawatan disandang sejak 2017, namun terdapat desakan supaya barisan kepimpinan tertinggi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut mengambil tanggungjawab dengan melepaskan jawatan masing-masing.

Sabtu lepas, Timbalan Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi dilaporkan berkata calon menggantikan Cheng Hoe akan diputuskan selepas menerima laporan daripada Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya berhubung punca kegagalan skuad kebangsaan pada kempen Piala AFF 2020. - Bernama