Keluarga penyerang masjid NZ bekerjasama dengan polis Australia

Pihak polis menutup kawasan di hadapan Masjid Al Noor susulan serangan maut semalam yang mengorbankan 49 nyawa. - Foto AFP
Pihak polis menutup kawasan di hadapan Masjid Al Noor susulan serangan maut semalam yang mengorbankan 49 nyawa. - Foto AFP
A
A
A

NEW SOUTH WALES - AUSTRALIA. Keluarga penyerang yang melepaskan tembakan rambang di dua masjid di New Zealand semalam, dilapor membantu siasatan pihak polis Australia.

Komisioner Polis New South Wales Mick Fuller berkata, pasukannya kini menjalankan siasatan bagi membantu polis New Zealand selain memastikan keselamatan penduduk di bandar Grafton, tempat asal penyerang Brenton Tarrant.

Fuller berkata, keluarga Tarrant menghubungi pihak polis selepas melihat laporan media berhubung insiden tembakan di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood yang mengorbankan 49 nyawa.

Menurut keterangan keluarganya, Tarrant jarang berada di Australia sejak empat tahun lalu.

Sementara itu, Pemangku Timbalan Komisioner Australia Michael Willing berkata, mereka turut menyiasat sama ada Tarrant mempunyai hubungan dengan mana-mana kumpulan ekstremis di Australia.

"Apa yang boleh saya katakan, buat masa ini tiada maklumat menunjukkan jenayah keganasan yang berlaku di New Zealand itu akan berlaku di New South Wales atau Australia," kata Willing sambil menambah Tarrant hanya mempunyai rekod berhubung kesalahan kecil trafik. - newstalkzb.co.nz

Artikel Berkaitan: