X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 18 Mei 2022

Remaja maut dirempuh pemandu mabuk

Keadaan motosikal yang ditunggang mangsa akibat dirempuh kereta di Jalan Sungai Danga di sini tengah malas Selasa.
A
A

ISKANDAR PUTERI - Seorang lelaki meninggal dunia selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh pemandu dipercayai mabuk dalam kejadian di Jalan Sungai Danga di sini, tengah malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian dipercayai berlaku pada jam 12.35 malam di kawasan persimpangan lampu isyarat ketika mangsa dari arah Persiaran Utama Taman Tan Sri Yaakob mahu membelok ke Jalan Sutera Danga.

“Ketika sedang membelok mangsa yang berusia 19 tahun dirempuh sebuah kereta yang sebelum itu dipercayai melanggar lampu isyarat merah dari Taman Sutera menghala ke Perling,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Dzulkhairi berkata, hasil ujian nafas menggunakan alat EBA-II mendapati pemandu kereta yang berusia 20 tahun itu berada di bawah pengaruh alkohol.

"Kemalangan itu mengakibatkan mangsa tercampak ke tengah jalan dan cedera parah. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai untuk bedah siasat.

"Dua penumpang kereta dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini kerana mengalami kecederaan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala pemandu kereta telah ditahan untuk permohonan reman dan membantu siasatan.

END


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!