Maktab Mahmud Tobiar ditutup seminggu

Laporan Sinar Harian pada 18 Januari 2022
Laporan Sinar Harian pada 18 Januari 2022
A
A
A

ALOR SETAR - Maktab Mahmud Tobiar, Pendang, di sini, ditutup selama tujuh hari selepas 99 pelajar asrama disahkan positif Covid-19 pada Selasa.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, jumlah itu dijangka bertambah selepas keputusan ujian saringan Covid-19 diperoleh.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan jangkitan dalam kalangan pelajar masih dalam keadaan terkawal.

"Setakat ini, jangkitan hanya melibatkan pelajar. Mereka yang positif sudah dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Dewan Wawasan, Jitra.

"Bagaimanapun, dua daripada mereka dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) manakala 24 pelajar sedang menjalani kuarantin di Asrama Puteri Maktab Mahmud Tobiar," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Wisma Darul Aman, di sini, pada Rabu.

Menurutnya, tiga kluster baharu dikesan di Kedah melibatkan tiga sekolah asrama di daerah Pendang, Kuala Muda dan Kubang Pasu.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bimbang akan berlaku peningkatan kes jangkitan Covid-19 di sekolah asrama di Kedah.

Beliau menasihatkan ibu bapa tidak menghantar anak yang bergejala dan kurang sihat untuk mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan seramai 99 pelajar asrama Maktab Mahmud, Tobiar, Pendang, dekat sini disahkan positif Covid-19 melibatkan Kluster Dah Penyarom.

Dr Mohd berkata, kes positif itu mula dikesan selepas beberapa pelajar perempuan mengalami gejala batuk dan demam.

Selain itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Kuala Muda di sini dilaporkan diarahkan tutup selepas 33 pelajarnya disahkan positif Covid-19.