NMIM latih 106 pegawai penentusahan DMSB untuk tingkat kompetensi

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad (tengah) menyaksikan pertukaran memorandum perjanjian (MOA) antara Pengarah Kanan Institut Metrology Kebangsaan Malaysia (NMIM) Dr Osman Zakaria (dua, kanan) dengan Ketua Pegawai Eksekutif DE Metrology Sdn Bhd Zuwairi Japri Al-Manjie (dua, kiri) pada Rabu. - Foto: Bernama
Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad (tengah) menyaksikan pertukaran memorandum perjanjian (MOA) antara Pengarah Kanan Institut Metrology Kebangsaan Malaysia (NMIM) Dr Osman Zakaria (dua, kanan) dengan Ketua Pegawai Eksekutif DE Metrology Sdn Bhd Zuwairi Japri Al-Manjie (dua, kiri) pada Rabu. - Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM) akan melatih 106 pegawai penentusahan DE Metrology Sdn Bhd (DMSB) yang memberi perkhidmatan pengujian dan penentusahan alat timbang atau sukat untuk kegunaan perdagangan, pada suku pertama tahun ini.

Usaha berkenaan dimeterai menerusi memorandum perjanjian (MoA) di sini hari ini yang membolehkan NMIM melaksanakan kursus kompetensi dan konsultasi kepada pegawai DMSB iaitu syarikat yang dilantik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di bawah Seksyen 26A(1) (B) Akta Timbang dan Sukat 1972.

Kursus kompetensi dan konsultasi merangkumi bendalir, masa, sukat linar dan jisim (timbang) itu akan dilaksana dalam tempoh dua tahun dengan kursus dan penilaian teori diadakan secara dalam talian, kursus praktikal secara video prarakaman dan penilaian fizikal di cawangan DMSB mengikut wilayah.

Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, dari semasa ke semasa, akan ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk memanipulasi pasaran atau mengaut keuntungan berlebihan melalui alat timbang dan sukat.

"Sama ada timbang pada skala kecil contohnya peniaga di pasar, ataupun skala besar seperti industri kelapa sawit dan automotif, kita perlu memastikan landskap perniagaan dalam negara sentiasa dalam tahap pematuhan tinggi berkaitan timbang dan sukat,” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan pertukaran MoA antara Pengarah Kanan NMIM Dr Osman Zakaria dan Ketua Pengarah Eksekutif DMSB Zuwairi Japri Al-Manjie.

NMIM adalah unit SIRIM yang merupakan Makmal Standard Pengukuran Kebangsaan dengan antara mandatnya adalah untuk merealisasi dan menyelenggara Standard Pengukuran Kebangsaan dan Bahan Rujukan Diperakui, di bawah Akta Sistem Pengukuran Kebangsaan 2007.

Hadir sama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad dan Pengerusi DMSB Datuk Seri Jamil Salleh. - Bernama

Artikel Berkaitan: