Peniaga yong tau fu buntu hilang punca pendapatan

Keadaan lori pikapnya yang berjaya ditarik keluar dan kini sudah dihantar ke bengkel. Gambar kecil: Deval Firdaus Hamzah Aidi Fainis
Keadaan lori pikapnya yang berjaya ditarik keluar dan kini sudah dihantar ke bengkel. Gambar kecil: Deval Firdaus Hamzah Aidi Fainis
A
A
A

TEMERLOH - Tidak sampai tiga bulan kembali beroperasi, seorang peniaga yong tau fu buntu memikirkan nasibnya selepas lori pikap yang digunakan dihanyutkan ketika banjir besar melanda Mentakab baru-baru ini.

Deval Firdaus Hamzah Aidi Fainis, 36, dari Kampung Sungai Dingin mengakui dia kini kehilangan punca pendapatan selepas kenderaan itu masih belum dapat dibaiki hingga kini.

Menurutnya, selain lori pikap yang digunakan untuk berniaga, kereta Proton Saga FLX miliknya juga turut ditenggelami banjir.

"Sebelum ini dua kenderaan itu turut tenggelam ketika banjir besar pada Januari tahun lalu dan kos membaiki kedua-duanya mencecah RM16,000.

"Saya gunakan duit daripada pengeluaran pelbagai skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan hanya pada Oktober lalu berjaya dibaiki selepas ditipu beberapa bengkel sebelum itu," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Ujarnya, sepanjang tempoh hampir 10 bulan itu, dia bekerja terpaksa melakukan pelbagai kerja untuk mencari rezeki sebelum kembali berniaga Oktober tahun lalu.

Keadaan lori milik Deval Firdaus yang ditenggelami banjir dan dihanyutkan hingga ke dalam paya baru-baru ini.
Keadaan lori milik Deval Firdaus yang ditenggelami banjir dan dihanyutkan hingga ke dalam paya baru-baru ini.

"Sebelum ini, jika lori pikap saya rosak, saya akan gunakan kereta untuk berniaga tetapi kini kedua-duanya rosak akibat banjir.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak sempat membawa dua kenderaan itu ke tempat lebih selamat kerana air naik terlalu cepat ketika itu menyebabkan lori pikap saya hanyut ke dalam paya," tambahnya.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu turut memberitahu, dua kenderaan terbabit telah dihantar ke bengkel namun masih belum dapat dibaiki memandangkan mereka tidak mempunyai cukup pekerja.

"Kos keseluruhan untuk membaikinya pun saya masih belum diketahui. Jadi saya kini sedang mencari bengkel lain. Bagaimanapun saya bernasib baik kerana ada rakan sudi pinjamkan keretanya buat sementara waktu.

"Malah saya juga buntu apabila memikirkan untuk membaiki rumah saya yang turut terjejas akibat ditenggelami banjir selain hilang punca pendapatan," katanya yang sudah empat tahun berniaga menggunakan kenderaan terbabit.

Firdaus yang juga penghidap penyakit saraf tisu lutut atau dikenali Pigmented Villonodular Synovitis (PVS) turut gusar memikirkan nasib keluarganya setelah ditimpa dugaan berganda apabila penyakit dialaminya itu ada kalanya menyebabkan dia tidak dapat bekerja.