Tiada kompromi ubahsuai kenderaan: Polis

Antara kenderaan yang diperiksa dalam Operasi Bersepadu Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), IPD Hulu Terengganu dan JAS Terengganu di kilometer (KM) 8 Jalan Kuala Berang - Ajil pada Selasa. Fotto:Ihsan JSPT Terengganu
Antara kenderaan yang diperiksa dalam Operasi Bersepadu Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), IPD Hulu Terengganu dan JAS Terengganu di kilometer (KM) 8 Jalan Kuala Berang - Ajil pada Selasa. Fotto:Ihsan JSPT Terengganu
A
A
A
HULU TERENGGANU - Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak sekiranya mereka melakukan pengubahsuaian kenderaan yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu, Superintendan Ismail Man berkata, selain membahayakan pengguna lain tindakan itu turut mengundang pencemaran alam sekitar.

"Jangan sambil lewa melanggar undang-undang dengan melakukan pengubahsuaian kenderaan.

"Ia bukan sahaja mendatangkan bahaya kepada pengguna lalu lintas, ia juga boleh mendatangkan pencemaran alam sekitar serta menyebabkan ketidakselesaan kepada pengguna lain," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Ismail berkata, sebanyak 70 kenderaan serta 76 individu diperiksa sepanjang Operasi Bersepadu Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu dan Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu yang dijalankan pada Selasa.

Katanya, sebanyak 23 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan selain dua kompaun, notis arahan diperiksa (4), uji meter (4) dan empat kesalahan di bawah Seksyen 48 (7) Akta Kualiti Alam Sekeliling Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Daripada jumlah itu, 16 saman dikeluarkan bagi kesalahan melibatkan motokar antaranya nombor plat tidak ikut peraturan, gagal tunjuk lesen memandu, lampu brek ketiga tidak menyala, tidak pamer lesen kenderaan motor (LKM), LKM dan lesen memandu tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans.

"Selain itu, tujuh saman dikeluarkan melibatkan motosikal, kenderaan pacuan empat roda dan lori atas kesalahan tidak pamer pelekat P, gagal pamer lesen memandu, tiada perlindungan insurans, LKM tamat tempoh serta lampu brek tidak menyala," katanya.

Beliau berkata, operasi itu akan diteruskan dari masa ke masa bagi memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya.
Artikel Berkaitan:


"Operasi kali ini dijalankan dengan kekuatan seorang pegawai kanan dan lima anggota trafik bersama seorang pegawai serta lima kakitangan JAS.

"Pihak polis akan sentiasa menggiatkan operasi seumpama ini bagi memberi kesedaran kepada orang ramai terhadap undang-undang jalan raya," jelasnya.