X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 25 Mei 2022

Syed Saddiq dinasihat hati-hati komen kes mahkamah di media sosial

Syed Saddiq - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dinasihatkan lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang komen di laman sosial berkaitan pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan harta yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menyatakan demikian kepada Ahli Parlimen Muar itu selepas Syed Saddiq menyentuh pertuduhan yang sedang dihadapinya di laman sosial Facebook.

Beliau menasihati Syed Saddiq, supaya membezakan kedudukannya antara seorang ahli politik dengan seorang tertuduh, yang dibicarakan di mahkamah.

Katanya, mahkamah memahami keadaan sukar yang dilalui bekas Menteri Belia dan Sukan itu, namun Syed Saddiq perlu sedar dengan perbezaan statusnya ketika memberi kenyataan dalam laman sosial.

"Selaku peguam, pasukan pembelaan menjadi pihak yang terbaik untuk menasihati anak guamnya dari semasa ke semasa," katanya.

Ketika prosiding sebutan kali pertama selepas kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin membangkitkan isu berhubung beberapa komen yang dibuat oleh Syed Saddiq di Facebook yang menyentuh pertuduhan yang sedang dihadapinya.

Menurutnya, sebarang komen dan hantaran yang dibuat dalam laman sosial itu boleh digunakan terhadap dirinya di mahkamah kelak.

"Ini bukan perintah larangan (gag order), tapi sebagai orang yang lebih matang daripada tertuduh, saya menasihatkannya bahawa sebarang komen di laman sosial seolah-olah pembelaan awal dan boleh digunakan terhadap dirinya,'' katanya.

Bagaimanapun, peguam, Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq berkata, komen berkenaan dibuat bagi menjawab pelbagai soalan yang diutarakan orang awam.

"Anak guam saya perlu diberi ruang yang fleksibel untuk menjawab persoalan masyarakat.

"Mereka ingin mengetahui pertuduhan berulang yang dihadapinya, namun kami mengambil maklum isu yang dibangkitkan oleh pihak pendakwaan," katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan keempat-empat pertuduhan terhadap Syed Saddiq, 29, dibicarakan secara bersama bermula 7 Jun depan.

Tarikh perbicaraan ditetapkan selama 22 hari iaitu pada 7 hingga 10 Jun, 20 hingga 22 Jun, 27 dan 28 Jun serta 4 hingga 8 Julai, 13 hingga 15 Julai dan 18 hingga 22 Julai akan datang.

Pada 25 November 2021, Hakim Mohamed Zaini membenarkan permohonan Syed Saddiq agar perbicaraan kesnya dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi atas alasan kemungkinan timbul persoalan Perlembagaan dalam kes itu.

Bagi pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa melakukan pecah amanah jenayah sewaktu beliau menjadi Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), dengan mengeluarkan wang sebanyak RM1 juta melalui cek CIMB Bank Bhd pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalahgunakan wang RM120,000 dari hasil derma di bawah akaun bank Armada Bersatu Enterprise untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 antara 4 hingga 18 April 2018.

Dua lagi pertuduhan berkaitan aktiviti pengubahan wang haram, melibatkan dua transaksi bernilai RM50,000 setiap satu dari akaun bank beliau, yang didakwa dilakukan pada 16 dan 19 Jun 2018 bagi tujuan aktiviti haram.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!