Tiada kompromi bagi pengamal perubatan swasta, NGO langgar SOP

Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth, Datuk Dr Anas Alam Faizli.
Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth, Datuk Dr Anas Alam Faizli.
A
A
A

SHAH ALAM - ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengamal perubatan swasta dan Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) serta polisi yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

ProtectHealth menerusi kenyataannya berkata, ia susulan beberapa laporan media berkaitan aktiviti penjualan sijil vaksinasi palsu.

“ProtectHealth menggalakkan orang ramai untuk menjadi pemberi maklumat dengan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.

“Ia adalah langkah berjaga-jaga dan bertindak sebagai penghalang untuk mencegah sebarang penipuan dalam prosedur pemberian vaksin.

“ProtectHealth sedaya upaya memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua pihak berkepentingan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut kenyataan itu, semua pengamal perubatan swasta (PPS) di bawah ProtectHealth adalah berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dan fasiliti kesihatan mereka adalah berlesen di bawah KKM.

Tambahnya, ia adalah syarat penerimaan ke dalam PICK bagi memastikan PPS dan NGO Kesihatan adalah sahih serta termaktub dalam Akta yang berkaitan.

“PPS dan NGO Kesihatan juga diwajibkan menghadiri latihan sebelum dibenarkan memberi vaksinasi serta menerima garis panduan yang terkini secara berkala daripada ProtectHealth dan KKM.

Artikel Berkaitan:

“Audit rawak akan dilakukan ke atas PPS secara berskala bagi memastikan setiap PPS dan NGO mematuhi SOP yang telah ditetapkan serta jika terdapat sebarang ketidakpatuhan berkaitan kualiti, tindakan menggantung PPS dan NGO Kesihatan dari menjalankan vaksinasi dalam PICK.

“Pasukan audit perubatan kami juga menjalankan siasatan sekiranya menerima sebarang aduan atau terdapat anomali data yang dipantau oleh ProtectHealth.

“Vaksin hanya diberikan melalui mekanisme terkawal oleh Pusat Simpanan Vaksin (PSV) kepada PPS dan NGO Kesihatan mengikut kiraan janji temu yang dikeluarkan oleh MySejahtera,” jelas kenyataan tersebut.

Selain itu, semua vaksinasi akan direkodkan bersama nombor siri vaksin, pengenalan diri penerima dan pemberi vaksin.

Jelasnya, ProtectHealth tidak bertolak ansur sekiranya terdapat PPS dan NGO Kesihatan di bawahnya didapati mempunyai sebarang salah laku berkaitan dengan aktiviti seumpama ini.

"Kita akan memberi kerjasama penuh dengan pihak berkuasa sekiranya PPS dan NGO Kesihatan kami didapati terlibat," ujar beliau.