Dua individu rugi RM433,000 angkara Macau Scam

Dua individu kerugian RM433,000 selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai wakil dari syarikat kurier, pegawai LHDN dan pegawai polis.
Dua individu kerugian RM433,000 selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai wakil dari syarikat kurier, pegawai LHDN dan pegawai polis.
A
A
A

KUANTAN - Dua individu kerugian RM433,000 selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai wakil dari syarikat kurier, pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan pegawai polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kes terbaharu di daerah Bentong itu melibatkan seorang penyelia dan seorang peniaga yang masing-masing berdepan kerugian RM263,000 serta RM170,000.

Menurutnya, penyelia berusia 39 tahun pada mulanya menerima panggilan antarabangsa daripada wakil syarikat kurier sekitar tahun 2020 memaklumkan terdapat satu bungkusan atas nama mangsa mengandungi kad pengenalan miliknya dan satu bungkusan dipercayai dadah.

"Panggilan itu, kemudian disambung ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sabah dan mangsa telah bercakap dengan seorang individu yang mendakwa dirinya sebagai pegawai polis.

"Mangsa dimaklumkan terlibat dengan pengedaran dadah, namun suspek bersedia membantu mangsa untuk melupuskan kesalahan itu dengan memasukkan sejumlah wang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, mangsa mengadakan perbincangan dan bersetuju dengan syarat suspek kerana bimbang akan ditahan serta didakwa.

"Mangsa telah melakukan 20 transaksi bermula November 2020 hingga awal Januari lalu yang berjumlah RM263,000.

"Kesemua transaksi itu dilakukan secara dalam talian dan turut menggunakan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Genting Highlands ke dalam akuan berbeza yang diberikan suspek," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Wazir berkata, bagi kes yang melibatkan peniaga berusia 47 tahun pula, dia menerima panggilan daripada dua individu yang menyamar sebagai pegawai LHDN dan pegawai polis.

Menurutnya, mangsa dikatakan mempunyai cukai tertunggak sebelum dituduh terlibat dengan kegiatan penjualan dadah dan cuci wang selepas panggilan tersebut disambungkan kepada pegawai polis.

"Suspek meminta mangsa memasukkan sejumlah wang bagi menutup kesalahan itu dan bagi memudahkan urusan pembayaran mangsa telah menyerahkan kod pengesahan transaksi (TAC) kepada suspek bagi tujuan pemindahan wang.

"Mangsa kemudian menyemak akaun bank miliknya dan mendapati wang berjumlah RM170,000 lesap," katanya.

Katanya, susulan itu kedua-dua mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong pada Selasa dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 kanun Keseksaan kerana menipu.