Kenyataan Suruhanjaya Sekuriti tidak boleh diterima: Gomez

Azam Baki - Foto Bernama
Azam Baki - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kenyataan Suruhanjaya Sekuriti (SC) mengenai siasatan melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki tidak boleh diterima.

Pakar ekonomi, Profesor Dr Edmund Terence Gomez berkata, ia kerana alasan yang diberikan tidak dapat menentukan secara muktamad kesahihan dakwaan terhadap Azam.

“Ini menimbulkan persoalan yang sangat membimbangkan. Mengapakah semua percubaan untuk memulakan penyiasatan terhadap dakwaan ini tidak menghasilkan siasatan yang mendalam dan terbuka?

“Walaupun dakwaan ini dibangkitkan oleh media, dibincangkan di Parlimen, dan dibawa ke perhatian Lembaga Penasihat SPRM, tiada siasatan bebas dijalankan.

“Kini setelah siasatan akhirnya dijalankan, kami diberitahu oleh SC bahawa ia tidak dapat menentukan sama ada Azam telah melanggar undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada Selasa, SC merumuskan bahawa berdasarkan siasatan, ia tidak dapat membuktikan terdapat pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) berhubung pemilikan saham menerusi akaun dagangan Azam

Pengawal selia pasaran modal tempatan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, SC membuat kesimpulan dalam siasatannya itu berdasarkan bukti yang dikumpulkan.

Mengulas lanjut, Gomez berkata, siri peristiwa yang membimbangkan seperti penyiasatan telah dihalang atau tidak mencapai kesimpulan yang memuaskan itu menunjukkan mengapa Azam Baki sepatutnya diarahkan untuk bercuti.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kerajaan tidak bertindak tegas dalam isu ini, membenarkan Ketua Pesuruhjaya SPRM kekal memegang jawatan semasa beliau masih disiasat.

“Apa yang kini diperlukan, memandangkan ketidakupayaan SC untuk memberikan pandangan mengenai dakwaan terhadap Azam Baki, ialah kerajaan harus segera menubuhkan jawatankuasa bebas untuk mengkaji perkara ini,” ujar beliau.

Edmund Terence Gomez
Edmund Terence Gomez