[VIDEO] Video tular, pengurusan hotel buat laporan polis

Tangkap layar video tular berhubung kejadian kemalangan melibatkan seorang anak pelanggan yang melecur di sebuah hotel di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Tangkap layar video tular berhubung kejadian kemalangan melibatkan seorang anak pelanggan yang melecur di sebuah hotel di Port Dickson, Negeri Sembilan.
A
A
A

PORT DICKSON - Pengurusan sebuah hotel di sini membuat laporan polis berhubung video yang tular dalam media sosial mengenai kekesalan seorang pelanggan terhadap layanan dan sikap tidak ambil berat oleh pihak berkenaan selepas berlaku kemalangan di bangunan itu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan polis jam 4.04 petang Selasa daripada seorang wanita berusia 47 tahun yang merupakan pekerja bahagian pengurusan hotel tersebut.

"Laporan dibuat berikutan satu video yang telah ditularkan melalui aplikasi TikTok dan Facebook dari satu akaun berkenaan kekesalan dan tidak puas hati seorang pelanggan terhadap layanan serta sikap tidak ambil berat pihak pengurusan hotel.

"Ia susulan telah berlaku satu kejadian pada 12 Januari lepas di mana seorang anak kepada pelanggan hotel mengalami kecederaan melecur sebanyak enam peratus di bahagian tangan dan badan akibat terkena tumpahan air panas," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Aidi Sham berkata, keluarga berkenaan telah membuat aduan yang menyalahkan pengurusan hotel berkenaan pengubahsuaian dan kedudukan susun atur barang di dalam bilik sehingga menyebabkan kejadian berlaku kepada anaknya.

"Pihak pengurusan hotel dengan rasa simpati atas kejadian telah memulangkan semula bayaran hotel kepada keluarga mangsa dan menafikan tidak mengambil berat terhadap kejadian yang menimpa keluarga mangsa sebaliknya mengambil maklum aduan yang dibuat," katanya.

Beliau berkata, sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang penyebaran berita yang tidak benar atau sebarang kenyataan media sosial yang boleh mengelirukan awam.

Katanya, tindakan tegas akan diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan: