Jelajah Mydin Prihatin bantu mangsa banjir

Ameer (dua dari kiri) dan Pengarah Eksekutif Mydin, Datin Dr Siti Hawa Mohd beramah mesra dengan salah seorang murid yang menerima bantuan.
Ameer (dua dari kiri) dan Pengarah Eksekutif Mydin, Datin Dr Siti Hawa Mohd beramah mesra dengan salah seorang murid yang menerima bantuan.
A
A
A

SUBANG JAYA - Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) meneruskan program tanggungjawab sosial korporatnya melalui Mydin Prihatin bagi membantu menyediakan persiapan persekolahan pelajar yang terkesan akibat bencana banjir baru-baru ini.

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, bantuan itu melibatkan 500 pelajar sekolah di Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan.

Melalui program itu, pelajar yang dikenalpasti menerima sumbangan berupa barangan kelengkapan persekolahan iaitu beg sekolah, pakaian seragam persekolahan dan kasut sekolah.

"Pendidikan merupakan asas paling penting dalam pembangunan sesebuah negara dan masyarakat untuk berjaya. Saya amat hiba melihat nasib pelajar sekiranya ibu bapa tidak berkemampuan menyediakan kelengkapan persekolahan akibat kesempitan kewangan susulan dilanda musibah banjir.

"Kita semua maklum pendapatan masing-masing terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan susulan penularan pandemik Covid-19. Kami berharap sumbangan kecil ini mampu meringankan bebanan yang dipikul mereka.

"Mydin Prihatin merupakan program tanggungjawab sosial korporat yang dijalin dengan kerjasama rakan-rakan pembekal strategik Mydin. Kita harapkan semua syarikat korporat serta individu berkemampuan diharapkan dapat turut sama membantu mereka yang memerlukan dalam menghadapi tempoh sukar ini," katanya ketika ditemui Mydin Mall USJ, di sini pada Rabu.

Pengurusan Mydin bersama guru-guru dan murid Sekolah Kebangsaan U3, Shah Alam yang menerima bantuan persekolahan.
Pengurusan Mydin bersama guru-guru dan murid Sekolah Kebangsaan U3, Shah Alam yang menerima bantuan persekolahan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sumbangan itu melibatkan pelajar di tujuh buah sekolah di tiga negeri yang terkesan akibat banjir baru-baru ini iaitu Sekolah Kebangsaan U3, Shah Alam dan Sekolah Kebangsaan Taman Sri Muda 2, Shah Alam di Selangor manakala di Negeri Sembilan melibatkan Sekolah Kebangsaan Palong 1, Gemas dan Sekolah Kebangsaan Sungai Kelamah, Gemas.

Artikel Berkaitan:

Di Pahang pula melibatkan Sekolah Kebangsaan Telok Ira, Temerloh; Sekolah Kebangsaan Bangau Tanjung, Temerloh dan Sekolah Kebangsaan Pesagi, Chenor.

Sementara itu, murid Sekolah Kebangsaan U3, Shah Alam, Muhamad Amsyar Abd Hadi, 8, berterima kasih dengan Mydin yang prihatin dengan nasibnya dan rakan-rakan yang lain.

"Saya rasa sangat gembira kerana mendapat pakaian dan peralatan sekolah baharu. Bantuan ini akan saya gunakan sebaik mungkin. Saya juga akan ingat pesanan Datuk (Ameer) yang minta kami belajar bersungguh-sungguh," katanya.

Rakannya, Darwish Imran Abdullah, 8, yang turut menerima bantuan berkenaan, turut teruja mendapat keperluan persekolahan yang baharu.

"Semasa banjir baru-baru ini, banyak barangan di rumah yang rosak. Banyak juga kerugian yang dialami, jadi dengan bantuan ini, ia dapat meringankan beban kewangan keluarga saya," ujarnya.

Mohd Naqiuddin Mohd Shahizan, 8, pula mengharapkan bantuan persekolahan yang diterima itu dapat menyuntik semangatnya untuk belajar lebih bersungguh-sungguh.