18 junior naik pangkat

Rexy dan Choong Hann pada majlis penyerahan 18 pemain skuad junior ke skuad senior negara pada Selasa. Foto: Badminton Association Malaysia
Rexy dan Choong Hann pada majlis penyerahan 18 pemain skuad junior ke skuad senior negara pada Selasa. Foto: Badminton Association Malaysia
A
A
A

[DIKEMAS KINI] SERAMAI 18 pemain junior yang dinaikkan pangkat menyertai skuad senior negara dinasihati untuk melipatgandakan usaha mereka dalam mempersiapkan diri bagi mengharungi fasa baharu.

Malah, Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky berharap barisan pemain muda negara itu melihat lebih jauh ke depan dalam mengatur langkah mengharungi saingan lebih kompetitif.

“Para pemain seharusnya tidak berada dalam situasi selesa apabila berada dalam skuad senior sebaliknya perlu lebih bersiap sedia dalam mengharungi fasa seterusnya.

“Saya dan barisan kejurulatihan senior akan berusaha dan bekerja keras dalam meningkatkan potensi diri dalam kalangan para pemain untuk menjadi pemain badminton yang lebih baik lagi pada masa depan.

“Saya bersama barisan kejurulatihan senior juga berterima kasih kepada Datuk Misbun (Sidek) serta barisan kejurulatihan yang menyediakan untuk kami barisan pemain junior ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis penyerahan 18 pemain skuad junior ke skuad senior negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara pada Selasa.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan BAM, Wong Choong Hann pula berkata, setiap pemain perlu memberikan sepenuh tumpuan latihan dan perlawanan selain sentiasa fokus terhadap matlamat berada dalam skuad senior.

“Saya harap pemain-pemain terus mengekalkan prestasi yang baik seperti mana yang ditunjukkan ketika bersama skuad junior. Jangan lupa sasaran yang telah ditetapkan,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Pembangunan Remaja BAM, Datuk Misbun Sidek menitipkan pesanan kepada bekas anak-anak buahnya untuk memanfaatkan peluang menjadi pemain terbaik.

“Inilah tempat untuk anda semua mencipta nama dan menonjolkan potensi diri. Malah, ini merupakan peluang dan masa yang perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mengharumkan nama negara,” ujarnya.

INFO

18 pemain junior ke skuad senior

1. Anson Cheong Yan Feng - Perseorangan lelaki

2. Ong Zhen Yi - Perseorangan lelaki

3. Chia Jeng Hon - Perseorangan lelaki

4. Goh Boon Zhe - Beregu lelaki

5. Rayner Beh Chun Meng - Beregu lelaki

6. Chua Kim Sheng - Perseorangan lelaki

7. Hooi Shao Herng - Perseorangan lelaki

8. Mohamed Faris Amrin - Beregu lelaki

9. Liew Xun - Beregu lelaki

10. Kok Jia Cheng - Beregu lelaki

11. Khor Jing Wen - Perseorangan wanita

12. Cheng Su Hui - Beregu wanita

13. Cheng Su Yin - Beregu wanita

14. Joanne Ng May Yin - Perseorangan wanita

15. Tan Zhing Yi - Perseorangan wanita

16. Loh Zhi Wei - Perseorangan wanita

17. Odelia Wong Qiao Shi - Beregu wanita

18. Siti Nurshuhaini - Perseorangan wanita