X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 17 Mei 2022

Petani berputih mata padi diserang bena perang

Petani menunjukkan padi yang rosak akibat penyakit bena perang di sebuah petak padi di Kampung Bukit Larek pada Selasa.
A
A

POKOK SENA - Lebih 20 petani di Kampung Bukit Larek dan Kampung Apil, dekat sini mengalami kerugian RM60,000 selepas kira-kira 17 hektar tanaman padi yang diusahakan mereka sejak September lalu diserang penyakit bena perang atau dikenali 'bom'.

Seorang petani, Mohd Syawal Abu Bakar, 45 dari Kampung bukit Larek, berkata, dia mengalami kerugian kira-kira RM10,000 selepas tiga hektar tanaman padi yang diusahakan rosak akibat penyakit tersebut.

Menurutnya, pelbagai kaedah digunakan untuk mengawalnya termasuk mencuba pelbagai jenis racun namun tanaman padinya tetap mati selepas di 'bom' beberapa hari.

"Saya mula perasan tanaman padi kena 'bom' pada penghujung Disember lalu sewaktu pokok sudah mula mengeluarkan hasil.

"Penyakit ini sekejap saja menyerang. Dalam satu minggu sahaja habis satu petak tanaman padi jadi kuning dan batang termasuk daun pula mereput," katanya pada pemberita ketika ditemui di Kampung Bukit Larek pada Selasa.

Difahamkan, penyakit bena perang akan menyerang pangkal rumpun padi berhampiran permukaan air dan menghisap cairan dalam pokok padi.

Jika kawalan tidak dilakukan, pokok padi tersebut akan kering seperti terbakar seterusnya mati dan keadaan ini dikenali sebagai ‘hopperburn’ yang menyebabkan pengurangan hasil padi.

Petani membakar pokok padi yang rosak dalam usaha mengelakkan penyakit bena perang merebak ke petak padi lain di Kampung Bukit Larek pada Selasa.
Petani membakar pokok padi yang rosak dalam usaha mengelakkan penyakit bena perang merebak ke petak padi lain di Kampung Bukit Larek pada Selasa.

Seorang lagi petani, Ahmad Sabani Abdullah, 49 dari Kampung Apil berkata, dia buntu memikirkan modal pusingan seterusnya yang diperlukan bagi musim baharu pada Mac ini.

Menurutnya, pada musim lalu mereka ditimpa musibah bencana manakala pada musim ini pula terpaksa berputih mata akibat serangan penyakit bena perang.

"Saya mengusahakan kira-kira lebih tiga hektar tanaman padi dan lebih separuh daripadanya terkena penyakit ini. Setakat ini tiada kaedah betul-betul berkesan menyekat penyakit 'bom' menular ke petak padi lain melainkan dengan membakar pokok padi yang rosak sahaja.

"Saya sebenarnya agak buntu memikirkan modal yang diperlukan pada musim akan datang. Pada musim ini sahaja kerugian RM8,000 manakala pada musim lepas rugi disebabkan oleh banjir," katanya

Sementara itu, Ketua unit Kampung Bukit Larek, Ismail Ahmad, 55 berkata, dia sudahpun memaklumkan perkara tersebut kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pokok Sena untuk tindakan susulan pihak berkaitan.

Jelasnya, serangan penyakit tersebut diihat ketara pada musim ini dan ramai petani mengadu dan mereka berharap agar ada bantuan pusingan modal dapat dihulurkan daripada pihak bertanggungjawab untuk meringankan beban.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!