Terbuka Australia: Raducanu lepasi ujian Stephens

Raducanu
Raducanu
A
A
A

PEMAIN sensasi remaja Britain, Emma Raducanu melepasi halangan pusingan pertama Terbuka Australia, apabila menewaskan pemain berpengalaman Amerika Syarikat, Sloane Stephens 6-0, 2-6, 6-1.

Raducanu, yang mencipta sensasi dengan status kelayakan tanpa kehilangan satu set di Terbuka Amerika Syarikat pada September, membuka set pertama dalam masa 17 minit.

Namun bekas pemain nombor tiga dunia dan juara Terbuka Amerika Syarikat 2017, Stephens akhirnya menemui rentak pada set kedua apabila memanfaatkan kesilapan Raducanu yang juga pilihan ke-17 kejuaraan.

Raducanu mula mendominasi set penentuan dengan beberapa pukulan tepat untuk pemain berusia 19 tahun tersebut menutup kemenangan walaupun melakukan kesalahan berganda.

"Ini merupakan perlawanan yang sukar untuk pusingan pertama, namun saya gembira dapat melaluinya.

"Set pertama, saya memberi tentangan hebat dengan sedikit kesilapan. Namun set kedua, saya akui berdepan kesukaran sebelum kembali pada set ketiga," kata Raducanu yang kini bersama jurulatih baharu Torben Beltz.

Artikel Berkaitan: