X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 24 Mei 2022

Apabila suara netizen lebih lantang...

A
A

SPONTAN. Itulah yang boleh dikatakan dalam kes remaja kena mandi jenazah.

Apabila menghukum salah laku anak, selalunya bapa yang prihatin akan spontan menyebat dengan rotan bulu ayam atau tali pinggang.

Paling sedikit mungkin telinga akan dipiat.

Lalu itulah yang dilihat dalam kes Imam Masjid Islahiah, Kuang, Rawang yang menghukum remaja dituduh mencuri tabung masjid.

Imam dikenali sebagai Imam Dahlan dan para Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid berkenaan cuba mendidik dengan menghukum remaja itu di atas kesalahannya mencuri.

Tindakannya bagaimanapun menyebabkan beliau ‘dinasihatkan’ meletakkan jawatan.

Remaja bernama Danial Iskandar, 19, didakwa cuba mencuri tabung masjid dengan mengheret dan menyembunyikannya dalam bilik mandi jenazah pada 8 Januari lalu.

Selepas tertangkap, pihak masjid kemudian melumurkan kapur barus dan memandikan remaja itu seperti jenazah.

Ketika ‘dimandikan', ada pula individu turut merakam video di mana ia menjadi tular di media sosial.

Pada Khamis, Mahkamah Majistret Selayang menjatuhkan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000.

Ketika perbicaraan, dia mendakwa terpaksa bertindak sedemikian bagi mendapatkan wang untuk membeli ubat-ubatan datuknya yang menghidap kencing manis.

Hakikatnya, tiada sesiapa yang berhak mengambil tindakan atau menjatuhkan hukuman di tangan sendiri.

Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, imam berkenaan telah diminta untuk meletakkan jawatannya.

Imam tersebut, katanya, tidak boleh menghukum seseorang sebelum siasatan dijalankan.

Ujarnya, sepatutnya kes tersebut diserahkan kepada polis, manakala kewajipan pegawai agama masjid adalah memberi nasihat dan bimbingan kepada individu yang bermasalah dan tidak menghukum.

Isu ini sebenarnya ditularkan dengan cara yang salah.

Selepas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan imam terbabit dalam kontroversi memandikan remaja seperti jenazah ‘dinasihat berundur’, ibu kepada remaja itu bagaimanapun tampil mempertahankan tindakan imam.

Beliau berkata, pihak berkuasa agama itu tidak seharusnya bertindak berkiblatkan kata-kata netizen.

Tegasnya, JAIS seharusnya menjalankan siasatan terperinci, termasuk bertemu dengan keluarganya terlebih dahulu sebelum menjatuhkan hukum.

“JAIS buat tindakan berpandukan kata-kata warganet. Ustaz kami tak buat salah.

Malah saya bersyukur beliau ‘membersihkan’ anak saya, beri semangat dan ‘roh’ baharu kenapa Danial. Kami yang setuju Danial ‘dibersihkan’.

“Ada orang kata imam berkenaan mendera anak saya... bukan.

Itu bukan satu penderaan tetapi kita cuba nak menginsafkan dia,” katanya.

Justeru, beliau menggesa JAIS mempertimbangkan semula keputusan menggugurkan imam berkenaan dengan melantiknya semula mengetuai kariah Masjid Islahiah, Kuang.

Kalangan netizen pula menyokong tindakan pengurusan masjid itu sebagai pengajaran kepada remaja berkenaan.

Bagaimanapun, ada netizen berpendirian pihak masjid tidak menghormati undang-undang dengan melayan remaja itu sedemikian.

Bukan bertujuan untuk menyokong tindakan spontan pihak masjid, tetapi elok seandainya kita menilai kembali semangat kejiranan setempat yang kian dilupakan.

Zaman dahulu selalu kita dengar jiran akan mengadu kepada ibu dan bapa tentang perangai anak.

Bukannya mereka dengki dengan keluarga jiran tetapi ingin mendidik anak-anak supaya lebih menjadi ‘manusia’.

Inilah yang cuba diterapkan oleh Imam tersebut.

Malangnya apabila suara netizen lebih lantang, maka inilah yang berlaku.

* Muhd Azman Mohd Nawi ialah Editor Sinar Islam


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!