Sara hidup hasil jualan anyaman lekar

Fatimah menunjukkan cara menganyam lekar di kediamannya di Kampung Pengkalan Gelap, Setiu.
Fatimah menunjukkan cara menganyam lekar di kediamannya di Kampung Pengkalan Gelap, Setiu.
A
A
A

SETIU - Walaupun dihambat arus kemodenan, seni tradisional iaitu anyaman lekar daripada lidi nipah masih sebati dalam diri seorang warga emas yang menjadikan hasil kraftangan itu sebagai sumber sara hidup sejak 18 tahun lalu.

Fatimah Che Long, 66, berkata, alatan tradisi yang digunakan sejak berabad lalu mampu memberikan pulangan sehingga RM1,000 sebulan bergantung kepada tempahan yang diterima.

"Hasil jualan lekar ini ada kalanya tidak menentu kerana ia bergantung kepada permintaan. Ada masa permintaan tinggi. Ada masa agak rendah.

"Bagaimanapun pembuatan alatan ini mampu menyara hidup kami sekeluarga sejak 18 tahun lalu," katanya ketika di temui di kediamannya di Kampung Pengkalan Gelap, di sini.

Fatimah berkata, dia mampu menghasilkan 80 hingga 100 lekar pelbagai bentuk yang dijual pada harga RM8 hingga RM30 bergantung kepada saiz.

Lekar yang sinonim sebagai cenderamata bukan sahaja berfungsi sebagai alas periuk, ia kini mempunyai pelbagai fungsi bersesuaian citarasa pelanggan.
Lekar yang sinonim sebagai cenderamata bukan sahaja berfungsi sebagai alas periuk, ia kini mempunyai pelbagai fungsi bersesuaian citarasa pelanggan.

"Lekar yang kukuh, tidak mudah rosak dan tahan lama dihasilkan daripada lidi nipah. Ia mampu bertahan sehingga 10 tahun," katanya.

Menurut Fatimah, rasa penat atau bosan tidak pernah membayangi dirinya kerana dia nekad untuk memartabatkan tradisi itu supaya ia tidak hilang begitu sahaja.

Artikel Berkaitan:

"Zaman dahulu, lekar dijadikan alas periuk panas tetapi kini diubah suai dan divariasikan dalam pelbagai bentuk dan saiz mengikut peredaran zaman.

"Sekarang lekar banyak fungsi ada yang dijadikan hantaran, bakul buah-buahan, bekas nasi bungkus, bawang, tempat letak barangan dapur dan ada juga yang dibentuk untuk dijadikan hiasan,” katanya.

Fatimah berkata, suaminya, Mat Ali Ismail, 69 akan membantu mencari daun nipah di sekitar kawasan sungai berhampiran kediamannya.

Fatimah berkata, biasanya tujuh pelepah daun nipah akan diambil kerana setiap satu pelepah mempunyai 25 hingga 30 batang lidi nipah yang telah matang untuk digunakan menganyam lekar.

"Setiap lekar memerlukan sehingga 100 batang lidi bergantung kepada saiz. Ada yang perlukan lebih ada yang kurang jika saiz kecil.

Fatimah menyiapkan lekar yang ditempah pelanggan.
Fatimah menyiapkan lekar yang ditempah pelanggan.

"Jika lidi lebih besar, lebih cepat lekar siap, jika lidi halus, proses pembuatan agak rumit sehingga satu jam untuk menyiapkan sebuah lekar," katanya yang turut menerima tempahan dari luar Terengganu termasuk pelancong dari China.

Fatimah yang hanya belajar membuat anyaman berdasarkan pemerhatian sendiri berkata dia mampu menghasilkan lebih enam lekar sehari mengikut saiz lidi nipah.

Wanita itu turut berkongsi ilmu yang ada melalui program demonstrasi pembuatan lekar.

"Tak ramai anak muda yang minat dalam seni ini sebab itu lah saya harap ada pihak yang dapat membangunkan seni tradisional ini supaya tidak terus dilupakan," katanya.

Seni anyaman lekar merupakan antara tarikan di daerah Setiu yang dinobatkan sebagai Kampung Pelancongan Terengganu.

Dua buah kampung di Setiu iaitu Kampung Mangkuk dan Kampung Penarik diisytiharkan sebagai sebagai kampung pelancongan pertama Terengganu pada Oktober tahun lalu.