X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022

Kes moral hakim kanan: Idris serah siasatan kepada polis

Idris Ahmad - Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Siasatan berhubung dakwaan jenayah moral yang dikaitkan dengan seorang hakim kanan diserahkan sepenuhnya kepada pihak polis, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad.

Beliau berkata, kementerian itu tidak akan sama sekali mencampuri bidang kuasa pihak polis dan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

“Semua pihak diminta akur dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan yang telus dan terperinci.

“Ia akan memberikan keadilan kepada semua pihak yang terkait dalam isu ini. Sebarang kenyataan yang boleh mengganggu siasatan perlulah dihentikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada 11 Januari lalu, media melaporkan polis sedang menyiasat seorang hakim kanan kerana didakwa melakukan gangguan seksual terhadap wanita berkahwin pada tahun 2020.

Kejadian didakwa berlaku apabila lelaki itu melawat kediaman wanita itu yang tinggal bersama suami terlantar sakit sebelum meminta izin untuk solat.

Susulan daripada itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak pada 12 Januari memaklumkan bahawa hakim kanan terbabit telah membuat laporan polis balas terhadap dakwaan mangsa.

Mohamad Farouk turut memaklumkan setakat 13 Januari, pihaknya sudah merakam keterangan tiga individu termasuk hakim kanan dan wanita yang juga pengadu manakala lima lagi individu akan dipanggil bagi membantu siasatan tersebut.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!