Banjir: 3,000 keluarga terima sumbangan peralatan elektrik

Sulaiman (kiri) menerima peralatan elektrik daripada Mohd Norlisam (kanan) pada Majlis Penyerahan Sumbangan Barangan Elektrik oleh SWM Environment untuk Mangsa Banjir di Melaka, pada Selasa. - Foto Bernama
Sulaiman (kiri) menerima peralatan elektrik daripada Mohd Norlisam (kanan) pada Majlis Penyerahan Sumbangan Barangan Elektrik oleh SWM Environment untuk Mangsa Banjir di Melaka, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A
MELAKA - Syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) menyumbang pelbagai peralatan elektrik bernilai RM750,000 kepada 3,000 keluarga terjejas banjir di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Pengurus Besar Korporat, SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, sumbangan berkenaan merupakan sebahagian inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) 'SWM Kasih' bagi membantu meringankan beban golongan berkenaan dan seterusnya mempercepatkan proses pemulihan pascabanjir.

Beliau berkata, Melaka merupakan negeri pertama menerima sumbangan 2,500 peralatan elektrik seperti peti sejuk, kipas meja, periuk nasi dan dapur gas bernilai RM250,000 untuk diagihkan kepada 800 keluarga mangsa banjir yang memerlukan.

"Sumbangan peralatan elektrik ini merupakan tambahan inisiatif CSR SWM Environment yang kita laksanakan sebelum ini iaitu pembersihan rumah dan premis yang terkesan banjir baru-baru ini khususnya di negeri yang SWM tawarkan perkhidmatannya.

"Hari ini kita sampaikan sumbangan peralatan elektrik untuk mangsa banjir di Melaka dan sumbangan barangan sama untuk rakyat Negeri Sembilan dan Johor akan disampaikan dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Barangan Elektrik untuk Mangsa Banjir di Melaka di sini pada Selasa.

Pada majlis itu, Mohd Norlisam bagi pihak SWM Environment menyerahkan sumbangan berkenaan kepada Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan turut dihadiri Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka Khairuladha Ab Mutalib.

Mohd Norlisam berkata, pihaknya telah bekerjasama dengan Jawatankuasa Bencana Negeri dan kerajaan negeri terlibat bagi mengenal pasti keluarga yang terjejas teruk akibat banjir bagi melancarkan proses pengagihan bantuan berkenaan.

Beliau berkata, selain itu, SWM Environment turut menyumbangkan sebanyak 640 ‘water jet’ kepada pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan bagi memudahkan kerja-kerja pembersihan rumah mangsa terjejas banjir pada masa hadapan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata SWM Environment telah menggerakkan 390 anggota dan 181 jentera pelbagai guna bagi membantu kerja-kerja pembersihan rumah mangsa dan kutipan pascabanjir di Melaka, Johor, Negeri Sembilan dan Selangor.
Artikel Berkaitan:


"Selain tiga negeri di bawah perkhidmatan SWM Environment, kita juga memberi bantuan di Selangor sebagai satu daripada inisiatif CSR bagi meringankan beban mangsa banjir," katanya.

Sulaiman berkata, kerajaan negeri Melaka hari ini menyerahkan bantuan pelbagai barangan keperluan dan peralatan elektrik dianggarkan bernilai RM500,000 kepada pegawai daerah di tiga daerah di negeri itu untuk diagihkan kepada mangsa banjir yang memerlukan.

Beliau berkata selain daripada SWM Environment, kerajaan negeri turut menerima sumbangan pihak lain antaranya Majlis Perabot Malaysia yang menyumbang barangan seperti tilam dan katil bernilai RM207,100 serta Persatuan OKU Sentral.- Bernama