TFC dapat tajaan RM4.5 juta hadapi Liga-M

Ab Rasid (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Hafizuddin pada Majlis Menandatangani Perjanjian Kontrak Penajaan Platinum 2022 antara TDC Holdings dengan Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Selasa. - Foto Bernama
Ab Rasid (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Hafizuddin pada Majlis Menandatangani Perjanjian Kontrak Penajaan Platinum 2022 antara TDC Holdings dengan Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

TERENGGANU Football Club (TFC) Sdn Bhd menerima tajaan berjumlah RM4.5 juta daripada syarikat produk kesihatan dan makanan, TDC Holdings.

Ketua Pegawai Eksekutif TFC Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh berkata, penajaan tersebut merupakan terbesar diterima musim ini, sekali gus melayakkan TDC Holdings menjadi penaja platinum untuk dua musim berturut-turut.

“Kami bersyukur kerana TDC Holdings sudi menjadi sebahagian keluarga besar TFC Sdn Bhd. Dengan penajaan ini, TDC Holdings yang menggunakan jenama 'Colever' akan berada pada jersi pasukan TFC pada musim ini dan musim depan untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M).

“Kami harap kerjasama strategik ini akan memanfaatkan kedua-dua pihak,” katanya dalam sidang media selepas majlis menandatangani kontrak penajaan antara TFC Sdn Bhd dan TDC Holdings di Kuala Nerus pada Selasa.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif TDC Holdings, Mohd Hafizuddin Hiew Abdullah dan Ketua Pegawai Operasi TFC Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas.

Sementara itu, Mohd Hafizuddin Hiew berkata, prestasi cemerlang Terengganu FC (TFC) dalam saingan Liga-M membuatkan pihaknya tertarik untuk menjalin kerjasama strategik dalam tempoh dua tahun.

Beliau memberitahu, skuad Penyu adalah pasukan kedua ditaja selepas Selangor FC yang juga dianggap sebagai pasukan gergasi bola sepak negara.

“Selain sokongan kewangan, hubungan strategik ini akan membuka peluang penerokaan produk yang boleh dipasarkan kedua-dua pihak.

Artikel Berkaitan:

“Oleh itu, kedua-dua pihak akan menerima manfaat dan kelebihan yang seimbang dan mungkin boleh diteruskan pada masa depan, bukan sekadar untuk dua musim,” ujarnya. - Bernama