‘Sudah lama kami tunggu’

Dr Irwan menunjukkan lokasi yang dikatakan telah digazetkan untuk pembinaan sebuah sekolah menengah.
Dr Irwan menunjukkan lokasi yang dikatakan telah digazetkan untuk pembinaan sebuah sekolah menengah.
A
A
A

SEPANG - Bakal mencapai jumlah kepadatan penduduk lebih daripada 100,000 orang, namun sekolah menengah yang ada berjarak hampir lima hingga enam kilometer.

Itu antara realiti dihadapi sebahagian besar penduduk di Kota Warisan, di sini.

Hasrat penduduk di sini hanyalah satu, iaitu anak-anak mereka dapat belajar di sebuah sekolah menengah yang selesa dan tidak terlalu jauh dari rumah.

Ia bukan sekadar satu impian mahupun omongan kosong, tetapi keperluan mendesak bagi penduduk.

Pengerusi Persatuan Penduduk Kota Warisan Sepang, Dr Irwan Mohd Sobri berkata, perkara ini diperjuangkan oleh pihaknya sekian lama.

"Perkara berkaitan keperluan sebuah sekolah menengah ini bukan baharu, ia disuarakan sejak beberapa tahun lalu.

"Buat masa ini, yang paling hampir adalah Sekolah Kebangsaan Kota Warisan, di situ pun boleh dikatakan tampung pelajar yang agak ramai dan ada dua sesi, pagi dan petang," katanya.

Menurutnya, apa yang merisaukan buat masa ini anggaran penduduk sekitar lebih daripada 50,000 orang dan jumlah ini dijangka bertambah dengan rancaknya pembinaan perumahan baharu.

Artikel Berkaitan:

"Selepas habis pengajian di peringkat rendah di Sekolah Kebangsaan Kota Warisan, murid di sini perlu melanjutkan pengajian di sekolah menengah di Putrajaya, Bandar Baharu Salak Tinggi dan beberapa sekolah lain.

"Apa yang menggusarkan, jarak antara kesemua sekolah menengah itu agak jauh, sekali gus menyulitkan urusan ibu bapa di sini," katanya.

Jelasnya, apa yang merumitkan adalah kos yang perlu ditanggung oleh ibu bapa di sini.

"Untuk makluman, kawasan ini terdiri daripada golongan yang berpendapatan rendah sederhana dan berada, bayangkan untuk mereka yang berpendapatan rendah, terpaksa urus untuk hantar anak ke sekolah menengah di Salak Tinggi.

"Bayangkan untuk dua tiga anak, kos sehingga RM600 hingga RM800, itu untuk kos pengangkutan sahaja," katanya.

Beliau berkata, tapak ada dan difahamkan sudah digazetkan selain diluluskan dalam mesyuarat kerajaan negeri Selangor.

"Ambil masa beberapa tahun juga untuk kami buat memorandum kepada Kementerian Pendidikan untuk mempercepatkan proses ini," katanya.