X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

Lanjutan had usia bas sekolah perlu utamakan faktor keselamatan

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berucap pada Majlis Penutupan Mesyurat Agung Tahunan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Bumiputra Kuala Lumpur dan Selangor di Menara Arina hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Cadangan pengusaha bas sekolah agar kerajaan melanjutkan had usia penggunaan bas sekolah kepada 35 tahun perlu diperhalusi berdasarkan faktor keselamatan secara menyeluruh terutamanya melibatkan pelajar, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata, laporan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mengenai kajian sama ada perkara itu boleh dilaksanakan akan mengambil kira faktor itu.

"Saya minta Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bawa kertas kajian oleh MIROS kerana ia melibatkan faktor keselamatan penggunaan kenderaan dan yang paling penting saya tak boleh berkompromi keselamatan pelajar kerana mereka yang menaiki bas sekolah.

Kalau dibenarkan, saya perlu melihat apakah syarat perlu ditetapkan dan apakah rasional kepada syarat itu. APAD akan akur dengan keputusan dasar yang akan dibuat Kementerian Pengangkutan berhubung perkara ini berdasarkan laporan kajian yang dikeluarkan MIROS kelak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-29 Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Bumiputera Kuala Lumpur dan Selangor di sini, pada Selasa.

Ka Siong berkata, buat masa ini, kerajaan hanya memberi kelulusan melanjutkan had usia penggunaan bas sekolah kepada 32 tahun selain membenarkan pembaharuan lesen bas sekolah yang melebihi had usia 30 tahun susulan terkesan akibat pandemik Covid-19.

"Pembaharuan lesen bas sekolah dibenarkan selari dengan kelulusan melanjutkan tempoh had usia kenderaan,” katanya.

Terdahulu, Presiden Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Bumiputera Kuala Lumpur dan Selangor Amali Munif Rahmat menyuarakan perkara berkenaan memandangkan pengusaha bas sekolah turut terkesan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mengenai cadangan Amali bagi dana pinjaman mudah kerajaan serta pinjaman tanpa faedah sepenuhnya melalui agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat dan TEKUN bagi Skim Penggantian Bas Sekolah berusia lebih 20 tahun, Ka Siong berkata, pihaknya akan memperhalusi perkara itu serta berbincang dengan Kementerian Kewangan. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!