Britain, Kanada bantu pertahanan Ukraine

Seorang anggota tentera simpanan Pasukan Pertahanan Wilayah Ukraine menjalani latihan tempur antikereta kebal berhampiran Kharkiv. - Foto: Agensi
Seorang anggota tentera simpanan Pasukan Pertahanan Wilayah Ukraine menjalani latihan tempur antikereta kebal berhampiran Kharkiv. - Foto: Agensi
A
A
A

LONDON - Britain memaklumkan ia telah mula menghantar senjata antikereta kebal untuk membantu Ukraine mempertahankan diri daripada sebarang kemungkinan pencerobohan dilakukan Rusia.

"Penghantaran pertama sistem senjata pertahanan itu telah dibuat pada Isnin malah sejumlah kecil anggota tentera Britain juga akan menyediakan latihan untuk tempoh yang singkat," kata Setiausaha Pertahanan, Ben Wallace yang tidak menyatakan secara spesifik jenis senjata yang mempunyai jangkauan jarak dekat tersebut.

Menurutnya, ia bukan senjata strategik dan tidak memberikan ancaman kepada Moscow kerana hanya sebahagian daripada mekanisme pertahanan.

Menteri Pertahanan Ukraine, Oleksii Reznikov menerusi Twitter turut menyambut baik pakej bantuan keselamatan baharu yang diberikan London.

Sebelum ini, Britain juga pernah menawarkan pembiayaan untuk meningkatkan keupayaaan tentera laut Ukraine.

Bantuan ketenteraan itu diberikan selepas negara Barat kini bimbang jika Rusia mencari alasan untuk melancarkan operasi ketenteraan baharu ke atas Kiev walaupun dinafikan berulang kali oleh Moscow.

Kremlin bagaimanapun memberi amaran ia mungkin akan mengambil tindakan ketenteraan tertentu jika Barat menolak senarai tuntutan jaminan keselamatan yang dikemukakan mereka pada bulan lalu sebagai syarat penting untuk meredakan ketegangan tersebut.

Sementara itu, Kanada dilaporkan telah mengerahkan kontinjen kecil pengendali pasukan khas ke Kiev sebagai sebahagian daripada usaha sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) bagi menghalang pencerobohan Rusia dan mencari jalan untuk membantu pemerintah Ukraine.

Artikel Berkaitan:

Global News melaporkan unit itu juga akan membantu untuk merangka pelan pemindahan kakitangan diplomatik Kanada jika operasi ketenteraan berskala besar dilancarkan.

Difahamkan, Ottawa telah memberikan bantuan sokongan kepada pasukan keselamatan Ukraine secara berkala sejak musim luruh 2020. - Agensi