FAM nafi tidak berusaha pastikan Jaami sarung jersi negara

Aksi Jaami (tengah) ketika beraksi untuk skuad bawah-18 tahun (B-18), Brighton.
Aksi Jaami (tengah) ketika beraksi untuk skuad bawah-18 tahun (B-18), Brighton.
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa badan induk itu langsung tidak berusaha bagi memastikan pemain muda yang berpengkalan di England, Jaami Qureshi berpeluang menyarung jersi negara pada Kejohanan Asia AFC Bawah-19 tahun (B-19) di Uzbekistan pada 2020 lalu.

Mengulas berhubung perkara berkenaan, Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar menegaskan bahawa FAM menerusi bekas Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam pada ketika itu, telah pun berkomunikasi secara terus dangan bapa Jaami, Perviz Qureshi serta Pengurus Akademi Brighton & Hove Albion, John Morling bagi membincangan panggilan ke latihan pusat skuad B-19 negara.

Malah, Perviz juga pernah mengadakan pertemuan dengan Stuart sekitar 2020 lalu, bagi berbincang lebih lanjut berhubung status anaknya.

“Ketika berkomunikasi dengan bapanya pada Julai 2020 lalu, dia (Perviz) mahu Jaami diberi keistimewaan taraf kerakyatan tanpa perlu melalui proses penilaian teknikal daripada jurulatih Brad Maloney ketika itu.

“Bagaimanapun, pada masa sama, seorang lagi pemain bawah 19 tahun yang berpengakalan di Amerika Syarikat (AS) Wan Ahmad Kuzri Ahmad Kamal yang berpangkalan di Amerika Syarikat, mematuhi proses kuarantin selepas menyatakan kesediaan pulang ke tanah air dan menjalani latihan bersama skuad Bawah 19 tahun negara serta dinilai dari segi kemahiran teknikal sebagai usaha meyakinkan panel kejurulatihan bahawa beliau layak untuk dipertimbangkan (mewakili negara),” katanya.

Untuk rekod, Jaami yang kini berusia 18 tahun dan pernah beraksi dengan skuad bawah-18 tahun (B-18), Brighton disifatkan sebagai ‘pemain warisan negara’ kerana memiliki pertalian darah dengan rakyat Malaysia menerusi ibunya.

Malah, ibu kepada pemain muda berkenaan turut memiliki darah campuran Arab dan Wales itu berasal dari Gugusan Manjoi, Ipoh, Perak dan situasi ini sudah cukup untuk melayakkan pemain berkenaan untuk beraksi dengan skuad kebangsaan atas tiket ‘pemain warisan.’

Sementara itu Mohd Saifuddin menegaskan FAM selaku badan induk bola sepak negara, sama sekali tidak akan berkompromi dalam mematuhi peraturan, garis panduan dan undang-undang kerajaan berhubung proses kuarantin berkaitan Covid-19 serta taraf kerakyatan untuk mana-mana individu bagi semua peringkat umur pasukan kebangsaan.

Artikel Berkaitan:

“Adalah jelas bahawa di sebalik dakwaan FAM tidak mengambil sebarang tindakan, Sekretariat Agung mengambil inisiatif berhubung dengan keluarga Qureshi pada 2020 tetapi atas sebab pelbagai faktor, usaha menjadikan Jaami rakyat Malaysia tidak tercapai.

“Kini, memandangkan Jaami kini memilih kerakyatan Iraq, kami ucapkan selamat maju jaya kepadanya,” katanya.