Bekas imam lumpuh selepas terjatuh pokok dokong

Zuraidin (kiri) berbual bersama Wan Chit (berkerusi roda, kiri) sambil diperhatikan Nasruddin (empat dari kiri).
Zuraidin (kiri) berbual bersama Wan Chit (berkerusi roda, kiri) sambil diperhatikan Nasruddin (empat dari kiri).
A
A
A

KOTA BHARU - Tidak pernah menjangkakan bahawa diri yang dahulunya normal seperti insan lain, kini hilang upaya seumur hidup.

Wan Chit Wan Omar, 47, lumpuh akibat terjatuh daripada pokok buah dokong pada tahun 2010.

Bekas Imam Tua Masjid Mukim Jambu Chempaka itu berkata, kejadian berlaku semasa cuti sempena Aidilfitri di rumah mentua di Kampung Batu Mengkenang Kuala Krai ketika dia memanjat pokok itu untuk mengutip buah dokong.

Wan Chit
Wan Chit

“Saya panjat pokok sehingga ke ketinggian 3.6 meter. Saya sempat makan sebiji buah dokong ketika berada di atas pokok.

“Tiba-tiba ranting pokok yang dipegang pada tangan sebelah kanan patah menyebabkan saya terjatuh ke tanah secara terduduk,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penutupan Gerak Ekonomi Belia Upaya Rakyat (Gempur) 2022 di sini pada Selasa.

Acara penutup disempurnakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Kelantan, Zuraidin Abdullah serta Pengarah Akademi As-Sibahah Uresetia Belia dan Sukan (U-BeS), Nasruddin Mahmud Muhaidin.

Barisan OKU yang menyertai Majlis Penutupan Gerak Ekonomi Belia Upaya Rakyat (Gempur) 2022 pada Selasa.
Barisan OKU yang menyertai Majlis Penutupan Gerak Ekonomi Belia Upaya Rakyat (Gempur) 2022 pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Wan Chit berkata, keadaan itu menyebabkan rutin hariannya berubah seratus peratus selain dirinya menghadapi trauma dan kemurungan sehingga setahun sebelum bangkit kembali serta membuka sebuah pusat pengajian al-Quran.

“Sejak disahkan lumpuh, saya memerlukan kerusi roda untuk bergerak dan tidak lagi menjawat jawatan imam di Masjid Mukim Jambu Chempaka.

“Mula-mula berasa amat tertekan dengan ujian berat ini namun satu hari saya terfikir bahawa tidak salah jika saya teruskan berkhidmat kepada masyarakat dengan membuka pusat mengaji al-Quran di Kuala Krai,” katanya.

Sementara itu, pada majlis tersebut, Zuraidin berkata, Gempur 2022 disertai oleh 90 orang kurang upaya (OKU) pelbagai kecacatan dalam usaha memantapkan ilmu keusahawanan dan sara diri.

“Gempur bertujuan menyuntik dan memperkuatkan semangat OKU untuk meneruskan perniagaan seperti berurut, menjual rempeyek dan menjual ais krim.

“Terdapat 41,666 OKU di Kelantan yang sentiasa diberi perhatian dan pelbagai inisiatif oleh kerajaan negeri bagi membantu mereka menjana ekonomi seperti sumbangan payung dan kerusi untuk mengurut yang diberikan kali ini,” katanya.