X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 26 Mei 2022

Wartakan tapak lombong wolfram warisan sejarah negara

Terowong yang dibina menjadi bukti kewujudan kegiatan melombong wolfram di Bukit Lentor, Hulu Dungun suatu ketika dahulu.
A
A

DUNGUN - [DIKEMASKINI] Tapak perlombongan logam tungsten atau wolfram yang pernah diteroka pada abad ke-20 di Bukit Lentor, di sini wajar diwartakan sebagai warisan sejarah negara.

Setiausaha Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Dungun (PSMKD), Wan Mohd Rosli Wan Ngah berkata, ia berdasarkan elemen sejarah yang masih ada disitu yang sekaligus merekodkan peristiwa penting dalam sejarah perlombongan negara.

Katanya, kewujudan rel kereta api kesan aktiviti perlombongan wolfram pada abad ke-20 membuktikan kawasan itu antara pengeluar utama wolfram di negara ini suatu masa dahulu.

"Kawasan ini tidak sepatutnya dibiarkan begitu sahaja kerana ia mempunyai elemen sejarah yang masih ada sehingga hari ini.

"Wolfram yang dikeluarkan dari terowong ini dihantar ke sungai Dungun menggunakan kereta api sebelum dieksport ke luar negara pada waktu itu," katanya kepada Sinar Harian, pada Selasa.

Menurut Wan Mohd Rosli, aktiviti perlombongan wolfram di kawasan itu dipercayai mula diusahakan sekumpulan orang Cina dari Singapura pada 1910.

Katanya, kandungan wolfram yang tinggi di Bukit Lentor ketika itu menarik perhatian pelabur-pelabur dari negara tersebut.

"Pada awalnya kumpulan ini melombong wolfram secara kecil-kecilan sahaja.

Mereka membawa hasil-hasil wolfram pulang ke Singapura untuk dieksport ke Eropah.

"Bahan logam ini kemudiannya mendapat permintaan tinggi kerana penggunaannya begitu meluas terutama dalam pembuatan bateri basah dan peralatan perusahaan sehingga harganya melambung tinggi," katanya.

Katanya, ketika itu perlombongan wolfram tidak diusahakan oleh orang Melayu kerana mereka tidak tahu kegunaan, nilai serta tempat untuk dipasarkan.

"Kualiti dan kandungan wolfram yang banyak di kawasan ini telah menarik minat sekumpulan pelabur dari Singapura yang kemudiannya menubuhkan Dungun River (Terengganu) Development Syadicated Ltd pada 1911.

"Sejak itu wolfram mula dilombong secara aktif sehingga permintaan melebihi pengeluaran," katanya.

Wan Mohd Rosli menunjukkan terowong yang digunakan untuk membawa keluar wolfram sejak 100 tahun dahulu yang masih ada sehingga hari ini.
Wan Mohd Rosli menunjukkan terowong yang digunakan untuk membawa keluar wolfram sejak 100 tahun dahulu yang masih ada sehingga hari ini.

Menurut Wan Mohd Rosli, Bukit Lentor yang terletak di Hulu Dungun menjadi lokasi pengeluaran penting wolfram sehinggalah kehadiran Jepun ke Tanah Melayu.

"Penjajah Jepun telah merampas kawasan perlombongan tersebut.

Aktiviti perlombongan wolfram tidak lagi diusahakan kerana kesukaran untuk dieksport akibat peperangan.

"Pelombong-pelombong pula takut untuk menjalankan kegiatan melombong akibat ancaman komunis," katanya.

Wan Mohd Rosli berkata, aktiviti perlombongan wolfram ditutup pada tahun 1945 disebabkan hasilnya yang semakin berkurang dan merugikan syarikat perlombongan.

Katanya, sehingga kini terdapat kira-kira 20 buah terowong kesan peninggalan aktiviti perlombongan wolfram di sekitar kawasan itu.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!