UniMAP tawar pengajian kepada pelajar cemerlang OKU

Dr Zul Azhar
Dr Zul Azhar
A
A
A

KOTA BHARU - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menawarkan tempat kepada calon berkeperluan khas dari Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa 2 untuk mengikuti program pengajian Diploma Kejuruteraan di universiti berkenaan.

Naib Canselornya, Datuk Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata, sebagai sebuah universiti berteraskan kejuruteraan dan diiktiraf lima bintang oleh QS Star Ratings, UniMAP komited untuk membantu Muhammad Rizdwan Roslan, 18 meneruskan pengajian dalam bidang kejuruteraan seterusnya menggapai impian untuk menjadi seorang jurutera.

Menurutnya, ia juga selari dengan hasrat Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dalam menyediakan laluan khas kepada empat golongan bagi kemasukan ke Universiti Awam (UA), yang terdiri daripada Orang Kurang Upaya (OKU), atlet, orang asli dan golongan berpendapatan rendah.

“Meskipun dari kalangan pelajar OKU, kami yakin, Muhammad Ridzwan tidak akan menghadapi masalah untuk mengikuti pengajian di UniMAP.

"UniMAP berharap Muhammad Rizdwan dan keluarga akan menimbang peluang berkenaan, selain bersedia bertemu dengan beliau dan keluarga untuk perbincangan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Zul Azhar berkata, menerusi Pusat Pengajian diploma, UniMAP menawarkan enam program pengajian untuk calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) iaitu Diploma Kejuruteraan Mekatronik, Diploma Kejuruteraan Metalurgi, Diploma Kejuruteraan Komputer, Diploma Kejuruteraan Pembuatan, Diploma Kejuruteraan Mikroelektronik dan Diploma Kejuruteraan Elektrikal.

“Program pengajian Diploma mempunyai keistimewaan tersendiri yang mana pelajar akan terus mengikuti pengajian dalam bidang yang diminati seterusnya memudahkan perancangan kerjaya kelak,” katanya.

Kelmarin Sinar Harian melaporkan, Muhammad Rizdwan yang kudung tangan kiri diumumkan sebagai pelajar cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 di Pengkalan Chepa 2 dengan memperoleh 9A dan 1B.

Artikel Berkaitan: