Banjir: Baiki kenderaan di bengkel tidak berdaftar boleh mohon bantuan

Tengku Zafrul - Foto Sinar Harian
Tengku Zafrul - Foto Sinar Harian
A
A
A

PUTRAJAYA - Mangsa banjir yang mengalami kerosakan kenderaan persendirian dan telah membaikinya di bengkel yang tidak berdaftar kini boleh memohon Bantuan Automotif Keluarga Malaysia.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia selepas kerajaan tambah baik pelaksanaan inisiatif tersebut dengan mewujudkan kaedah alternatif untuk membuat tuntutan tunai.

Menurutnya, permohonan tuntutan Bantuan Automotif Keluarga Malaysia untuk bengkel tidak berdaftar boleh dibuat secara dalam talian mulai Rabu di portal rasmi https://bantuanautomotif.hasil.gov.my.

"Permohonan secara manual fizikal juga boleh dibuat di mana-mana Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) serta cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDNM) berhampiran," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, sehingga kini hampir 20 syarikat automotif dengan rangkaian lebih daripada 1,800 pusat servis berdaftar di seluruh negara telah bersetuju untuk menyertai inisiatif Bantuan Automotif Keluarga Malaysia.

"Senarai syarikat terlibat bersama dengan pendaftaran pusat servis sah serta bengkel terutamanya untuk motosikal akan dikemas kini sepanjang tempoh pelaksanaan," katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan inisiatif tersebut sehingga RM1,000 bagi meringankan beban golongan yang terjejas akibat bencana banjir yang melanda negara.

Artikel Berkaitan: